Tuesday, October 1, 2013

SEMALAM YANG BERLALU

1 Bas Plusliner dari Utara ke Kuala Lumpur bergerak tenang diatas lebuhraya. Dia memandang sekeliling kebanyakkan penumpang masih tidur, bas sudah pun melintas Jejantas Sungai Buloh, dia mengeliat sedikit dan memerhati orang sebelahnya seorang gadis berbangsa Cina. Dia mengeluh, sepanjang perjalanan tadi dia tidak boleh tidur seinci pun, walaupun matanya terlalu berat untuk dibuka. Jam menunjukkan pukul dua petang, nampaknya bas ini lewat lima minit. Dia senyum sendirian pasti Hani akan marahnya kerana terlambat. Mujur ada Hani yang sudi membenarkannya tinggal bersama, Hani temannya ketika belajar di ITM. Kalau tidak tentu susah untuk dia mencari rumah sewa, faham sajalah di kota yang besar seperti Kuala Lumpur tentu payah nak mencari rumah sewa. Bas melewati bangunan KTM dan ramai penumpang kelihatan bersedia mahu turun. Dia bersedia menurunkan barang. Dia berharap Hani masih menunggunya di Puduraya. Tangga platform di dakinya di Puduraya orang tidaklah ramai mungkin kerana bukan musim cuti. Dia melihat sekeliling namun tidak nampak wajah temannya itu. Dia risau kalau Hani tidak ada dimana dia nak tidur malam ni? Dia menarik nafas panjang, setiap wajah yang ada di situ diperhatikan. Seorang pun dia tidak kenali. Afira lewati kaunter pertanyaan, jam usang yang tergantung di Puduraya diperhatikan hampir tiga petang. Gelagat-gelagat para penumpang diperhatikan, lagu-lagu irama Bollywood dari gerai menjual VCD kuat kedengaran. Mendengar lagu-lagu Hindi itu membuatnya terkenangkan Hani. Kerisauannya bermula lagi, Hani terlambat atau sengaja tidak mahu mengambilnya. Afira ngomel sendirian. “Hai...” Dia menoleh dan menjerit kesukaan dan memeluk orang itu. Mereka ketawa, Hani membantunya mengangkat bungkusan yang turut dibawa bersama. Hani melihat temannya yang mendahului, dia suka melihat gadis itu sudah bertudung. Ketika mereka berkenalan, Hani agak seksi. “Kau semakin kuruslah Fira.” Suara Hani. “Kau pula makin cantik. Maklumlah kerja bagus.” Mereka menuju ke tingkat atas untuk ke tempat letak kereta. Kedua gadis itu menuju ke salah sebuah kereta. “Tak sangka dalam tempoh 3 tahun kau dah pun ada kereta sedangkan aku baru nak kerja.” “Jangan cakap macam tu. Inikan rezeki masing-masing, Fira.” Hani membalas sebaik saja mereka melabuhkan diri dikerusi empuk itu. Tali pinggang segera disisipkan, kemudian Hani menghidupkan enjin dan meletakkan gear ke huruf R untuk mengundur dan ke huruf D untuk terus memandu. Kereta buatan Malaysia itu bergerak tenang dijalanan. Lagu Selagi Ada... Cinta nyanyian Ning Baizura kedengaran. Afira tidak lepas-lepas memandang keluar. Begitu lama dia tidak ke kota metropolitan itu. Perubahan begitu mendadak sekali, terasa seperti dia ketinggalan zaman. Afira senyum sendiri, terasa dirinya seperti rusa masuk kampung. Lagu-lagu dari corong radio terus berkumandang. Afira menarik nafas dan mengharap keputusannya untuk bekerja di kota ini akan berjalan dengan lancar dan berjaya. Dia tidak mahu menghampakan harapan opah yang terpaksa ditinggalkan di kampung. Minggu lepas bila diberitahu dia sudah mendapat kerja di Kuala Lumpur, wanita itu seakan-akan menolak. Walaupun tidak dilafazkan secara lisan, namun Afira tahu wanita itu tidak membenarkan. Kuala Lumpur merupakan kota besar yang mencabar. Sesiapa lalai pasti tenggelam cuma yang kuat pegangan pasti terus berdiri, itulah kata-kata wanita itu semalam. Afira faham apa yang dia cuba katakan. Mereka melepasi bangunan Mid Valley, dia memerhati penuh rasa kagum. Kemudian, dia menoleh ke arah Hani yang memandu tenang. “Aku tak sangka kau kerja di Putrajaya, Hani. Aku ingatkan kau nak kerja di Johor dekat dengan Sham. Apa khabar boyfriend kau tu?” Hani ketawa kecil. Dia mengeluh, kedengaran suara DJ Subi sedang berceloteh di corong radio. “Aku dah putus dengan dia. Lama dah, dia tak sesuai dengan aku. Lemah dan tiada pendirian. Aku bukan boneka yang diusung ke sana ke mari kemudian dibiar seperti patah haluan. Tujuan aku bercinta nak berkahwin dan ada anak, bukan nak jadi bohsia.” “Iya ke? Aku ingatkan dia lain dari lelaki lain,” tanya Afira. Hani ketawa lagi. “Betul kata orang, don’t jugde a book by its cover. Nampak saja alim tapi alim tahi kucing.” Afira diam membisu, dia memandang ke arah jalan. Terkenang dia pada lelaki bernama Sham, lelaki itu dan Hani rapat ketika di ITM. Kemana saja mereka pasti berdua, macam belangkas. Hani pun selalu juga berharap yang dia dah Sham akan naik ke pelamin. Malahan, Sham juga pernah bercerita padanya yang dia akan melamar Hani selepas tamat belajar. Nampaknya, itu semua cerita semalam. Dia memerhati kenderaan yang lalu lalang, besar dan kecil. Mereka memasuki lebuh raya menuju ke destinasi. “Kau masih dengan Huzir?” suara Hani. Afira memandang temannya.. Dia tak menyangka akan mendengar pertanyaan itu dari temannya, segera digelengkan kepala. “Aku dengan dia kawan biasa je. Dengar cerita mak dia dah pilih pasangan untuk dia. Lupa pula dia ada kirim salam dengan kau.” “Aku ingatkan kau end up dengan dia?” suara Hani, terkejut. Afira membetul duduknya. “Takkanlah. Kau kan tahu keluarga dia berketurunan Syed dan Syarifah. Jadi mak dia naklah juga menantunya bergelar Syed dan Syarifah. Aku ni Syarifah pun tak, Siti pun tak, Tengku pun tak, Raja lagilah tidak. Mustahil mak dia nak pandang pun.” Mereka berdua duduk di sofa. “Manalah tahu bila dia tengok kau yang ayu lagi manis ni terus hilang Syarifah tu semua.” “Untung aku dapat mak mentua kaya...” Mereka berdua ketawa nyaring dan bertepuk tampar. Hani bingkas menuju ke dapur, Afira mengekori gadis itu. “Tapi aku tak dapat bayangkan kalau kahwin dengan Huzir,” suara Afira dan meneguk jus epal pemberian Hani. Mereka kembali ke ruang tamu. Hani mengangkat kening sebagai tanda pertanyaan. “Entahlah. Mungkin sebab aku tak ada feeling pada Huzir agaknya?” “Bukan jodoh korang agaknya. Jom aku tunjukkan bilik kau, Fira.” Afira merenung jauh di laman rumah, diperhatikan langit agak mendung. Bintang tidak kelihatan, dia mengeluh. Dia kenangkan opahnya di kampung. Sebenarnya, dia begitu berat untuk dia meninggalkan kampung halamannya kerana dia tak sanggup meninggalkan opah kesayanganya itu. Dia tak sanggup meninggalkan opahnya yang telah banyak berjasa padanya, yang telah membesarkannya setelah kedua orang tuanya meninggal dunia ketika dia masih bayi lagi. Opahnya yang banyak berkorban dengannya dan hasil penat lelah itu terubat juga setelah dia membawa pulang segulung ijazah. Namun, bagi Afira itu tidak setimpal dengan kesusahan yang wanita itu hadapi deminya. “Betulkah tindakkan aku ni?” bicara hatinya. Dia berfikir dan membuat perkiraan. Dia terkejut mendengar bunyi guruh. Dia merenung ke langit kelihatan cahaya petir berkilauan. Pasti hari nak hujan, bila mungkin bukan sekarang. Afira melangkah ke dalam rumah, Hani sibuk di dapur. Dia menghampiri temannya. “Buat apa tu? Aku dah kenyanglah. Tadi pun aku makan sikit.” “Aku teringin makan bubur jagung,” “Teringin? Ish macam orang mengandung pulak.” “Hey...jangan nak melalut. Aku anak dara lagi tau!” Kedua gadis itu ketawa. Afira mencapai mangkuk untuk mereka menjamah bubur jagung yang dibuat Hani. “Sebenarnya aku lega kau tinggal dengan aku, Fira.” “Kenapa?” “Kau pun tahu aku tinggal sendirian. Sekarang, kau dah ada boleh juga temankan aku. Selain itu, boleh aku menyakat kau?” “Memang hobi kau menyakat aku. Dari zaman ITM sampai hari ni perangai kau memang tak berubah.” Ketawa memecah ruang. 2 Afira melangkah ke dalam bangunan itu dan menuju ke kaunter pertanyaan, sambil itu dia melihat sekeliling. Air liur ditelan berkali-kali, dia berdehem. Dia menghela nafas, hari ni segalannya akan bermula. “Selamat datang ke Lotus Heaven Cooperation, boleh kami bantu, cik?” tanya salah seorang receptionist di kaunter tersebut. Afira sedikit teragak agak untuk menjawab. “Cik Afira Nurulriza?” satu suara menegurnya. Afira menoleh, dia mengangguk. Seorang wanita didalam perkiraanya lewat dua puluhan menghampiri. Wanita itu mengenakan kebaya labuh warna jingga menyerlahkan keayuaannya. “Sila ikut saya,” suara wanita itu dan mendahuluinya. Afira mengangguk dan segera mengekori wanita dihadapannya. Dadanya bagai mahu meletup kerana menahan debaran. Mereka tiba di sebuah ruangan pejabat. Afira dapat merasakan peluh dingin terbit di dahinya. Kesejukkan alat penghawa dingin tidak sedikit pun menyejukkannya. Sesekali terasa ingin pitam. “Silakan duduk. Cik Afira jangan takut, nama saya Sarah. Saya pegawai bahagian HR, sila serahkan segala maklumat mengenai cik dan sila cik isikan borang ini.” Afira mengangguk dan menyerah fail mengenai dirinya. Dicapai borang yang ada dihadapannya. Wanita itu melangkah keluar dari ruang pejabatnya, entah ke mana. Selesai mengisinya, dia memandang sekeliling wanita itu belum lagi muncul. Dia atas meja wanita itu terdapat dua buah buku tahunan syarikat. Dia mengambil buku dan dibelek-beleknya. Dia dapat melihat wajah-wajah semua lembaga pengarah syarikat tersebut dan juga segala pegawai di syarikat tersebut. Dia mengeluh, kebanyakkannya semua separuh umur kalau ada yang muda dahpun berkahwin. Dia tersenyum dan meletak kembali buku itu, wanita itu muncul dan menyerahkan fail itu kembali kepadanya. “Hmm... cik Afira sila tandatangan kontrak ni.” Afira melihat kontrak itu dan tanpa ragu dia menandatanganinya. Sarah mengambil kontrak dan borang itu dan tersenyum, dia menghulur tangan kearah gadis itu. “Welcome to Lotus Heaven Cooperation, cik Afira.” Mereka bersalaman. “Okay, mari saya tunjukkan tempat cik. Cik tahu kan cik bertugas sebagai pembantu peribadi Pengarah Urusan.” Afira mengangguk dan dia terkenangkan gambar pengarah urusan yang dilihat sebentar tadi. Dia mengeluh lemah dan mengekori Sarah menuju ke arah lif. Sarah menekan butang nombor lapan untuk ke tingkat tersebut. Mereka tiba di tempat berkenaan, sebelum itu Afira diperkenalkan kepada semua pekerja yang ada di situ. “Cik Afira ini tempat cik dan mulai saat ini cik dipertanggungjawab untuk membantu pengarah urusan kita dalam apa jua hal, kerja ataupun peribadi.” “Terima kasih cik Sarah. Saya akan lakukan sedaya saya.” Sarah baru sahaja mahu melangkah sebelum dia berpaling. “Saya lupa nak beritahu, Pengarah kita cuti dua hari. Tapi dia tahu cik Afira akan bertugas hari ini.” Dia melangkah keluar dari perut teksi, sebelum membuka pintu pagar Afira menarik nafas panjang. Dia melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Hani yang baru sahaja selesai solat Asar muncul di ruang tamu. Dilihat Afira sudah pun berlingkar di atas sofa, dia menghampiri dan mencuit pinggang gadis itu. Afira menempis tangan Hani dan merenggek manja. Sekali lagi Hani mencuit pinggang temannya. “Janganlah, aku letih ni. Nak buka mata pun tak larat...” Hani ketawa kecil dan mencuit lagi pinggang Afira dan gadis itu menjerit kecil. “Banyak sangat kerja ke? Sampai teruk macam ni?” “Hmm...tak lalu aku. Agh!!! Sakitnya badan...Sakit bahu...” Afira mengeliat, Hani mencebik bibirnya dan menanggalkan telekung. “Hani...tolong picit aku kejap..!” Hani merengus dan memicit bahu temannya. Afira mengeluh lega dipicit sebegitu. “Dahlah...Penat aku memicit kau!” “Alah...best kau picit aku. Alah...tolonglah,” Afira merengek, Hani ketawa kecil. Afira mengeliat kecil di sofa dan melelapkan matanya. Hani berhenti memicit dan dia mencebik bibir kemudian berlalu. Afira merengek lagi kemudian dicapainya alat kawalan jauh untuk memasang televisyen 29” milik Hani. Siri Pearl Screen ke udara. “Oi...pergi mandi. Solat Asar, jangan nak berlingkar depan TV tu! Bangun..!” laung Hani dari dalam biliknya. Afira merengek lagi, mengeliat dan menutup televisyen itu. Kemudian segera melangkah ke biliknya. Selesai makan malam, mereka bersama membersih ruang dapur. Kedua gadis itu berlalu ke ruang tamu. Hani ke dapur semula untuk membancuh minuman. Afira menukar siaran TV2. Hani muncul dengan dua mug Milo panas, Afira mengeliat kecil rasa letih siang tadi masih berbaki. “So, macamana rupa bos kau? Handsome ke? Dia baik tak?” tanya Hani. Afira mengeluh, mengurut tengkuknya. “Bos aku cuti dua hari. Tadi aku tengok yearbook erh! bos aku...tua!” Hani mencebikkan bibir dan tersenyum kecil. “Apa gelak-gelak...orang serius tau!” “Takkan kot. Mana tahu kot-kot gambar lama ke?” Afira menjungkitkan bahu dan meneguk air dari mugnya. “Ish...macam kau kenal bos aku aja?” Hani kelihatan terkedu dengan kenyataan Afira, dia telan air liur. “Tak adalah...Aku takut, kau tiba-tiba terkejut tengok muka dia yang handsome.” “Aku berani kerat jari Hani. Sah tua, siap gatal-gatal lagi. Agh!!!Tidak!” ujar Afira dan menggelengkan kepala. Hani ketawa bersungguh-sungguh, Afira kerutkan dahi kemudian turut ketawa dengan gelagat temannya. Dua hari berlalu tanpa sedar, bagi Afira dua hari itu adalah sesuatu yang tidak sempat untuk dia kejar dan terpaksa dilepaskan mengikut kehendak dan putaran alam. Segala yang perlu dia bawa sudah disediakan di suatu tempat. Langit masih lagi agak gelap, dia perlu segera bersiap. Hari ni hari pertama dia akan bertemu dengan lelaki bergelar bos. Kalau boleh dia mahu lelaki itu tidak bersangka buruk terhadapnya, jika tidak kerja-kerjanya tidak akan jadi lancar. Sejak dari semalam dia tak keruan sudah beberapa kali dia memujuk hati supaya bertenang. Sejak dia berpindah ke kota itu, dia mudah panik. Dia sendiri tidak tahu bagaimana penyakit itu boleh hinggap? Sudah dua kali dia menukar bajunya dan akhirnya baju kurung kasa Rubiah disarung ke badan. Dia menyediakan sarapan untuk Hani, teko kopi diletakkan diatas meja. “Hani, cepat sarapan!” laung Afira dari dapur. Hani muncul dia membetulkan kedudukan tudungnya, dia memakai serba kelabu hari itu. Afira menuangkan kopi ke dalam mug. Dihulurkan mentega kacang kepada temannya. “So, dah bersedia untuk jumpa bos kau?” “Jangan kau nak menakutkan aku yang sedang gelabah nih!” “Apa kau nak takut, kalau dia handsome kau tackle aja dia. Kalau dia tua kau goda jugalah.” “Kau jangan nak mengarut. Tak nak aku...” Hani ketawa dan mengunyah rotinya. Afira melihat jam dinding dan dia terlambat. Debaran untuk bertemu dengan bosnya, masih lagi terasa. Dia takut seandainya lelaki itu merasakan yang dia tidak sesuai untuk berkerja di situ. Teksi sewaannya sudah berada di depan rumah, dia bergegas keluar. Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya segera, Afira berlalu ke mejanya. Dia pasti bosnya belum tiba. Ditekan suis PC untuk membuat kerja, jadual hari ini disusun untuk bos dan dirinya. Dia menaip kerjanya dengan penuh khusyuk. Tiba-tiba alat interkomnya berbunyi, Afira tersentak. Dia kehairanan, kalau bosnya tiada di dalam bilik bagaimana alat interkomnya berbunyi. Jantungnya berdegup kencang, dia menghela nafas dan segera menjawab interkom tersebut. “Ya...” jawabnya sedikit cuak “Hmm...masuk ke bilik saya sekarang juga..!” “Okay,” suaranya sedikit gementar. Dahi dikerutkan lagi, bermakna bosnya memang ada di dalam bilik. Afira gigit bibirnya dan menghembus nafas. Suara tadi kedengaran seperti orang muda walaupun sedikit garau. Namun, tidak boleh buat andaian dengan hanya mendengar suara sahaja. Afira segera berlalu ke bilik bosnya. Afira pasti bosnya seorang lelaki tua, berambut putih bermisai atau berjambang yang sama putih dengan rambutnya. Tentu sekali berperut boroi dan ditambah dengan renungan miang. Dia mengeluh dan tangannya mengigil ketika mengetuk pintu bilik. Di balik pintu ada suara menyuruhnya masuk, ini menambahkan lagi gementarnya. Jantungnya berdegup kencang seakan-akan ingin luruh ke bumi. Sebelum melangkah masuk dia membaca segala jenis doa yang dia ketahui. Dia sudahpun berdiri di balik pintu, dia dapat lihat seorang lelaki berdiri membelakanginya dengan kedua belah tangan dimasuk ke dalam poket seluar. Afira tidak dapat menggagak rupa lelaki itu ditambah dengan pantulan cahaya yang menyebabkan lelaki itu seperti tenggelam di dalam cahaya. Apa yang dia pasti lelaki itu bertubuh besar, mungkin sering bersukan. Tinggi orangnya kemungkinan lingkungan 5 kaki 10 inci. Afira memandang sekeliling, panik juga dia. Kenapa bosnya tidak memberi arahan lagi? “Duduklah kenapa berdiri? Kerusi bilik nih belum nak patah lagi,” Dia masih membelakanginya, Afira duduk dan masih membisu, dia tidak selesa. Alat hawa dingin terasa begitu panas ketika itu. Lelaki itu menoleh dan wajahnya jelas kelihatan, Afira terkejut dan pad notanya jatuh ke lantai segera dia ambil dan dia terhantuk dengan bucu meja itu. Dia menjerit kecil dan memandang wajah lelaki itu, wajahnya merah kerana malu. “Awak okay, cik Afira? Jangan risau saya tak makan orang.” Laju sahaja anggukkannya. Mata Afira tak berkelip memandang lelaki itu. “Kenapa pandang saya macam itu. Muka saya teruk ke?” “Tak...tak...cuma saya tak sangka bos saya muda.” Afira terus menutup mulutnya, merengus kerana tersilap cakap. Lelaki itu ketawa kecil dan berdehem, kemudian duduk dihadapannya. Afira masih dapat merasakan wajahnya panas. Lelaki itu senyum. “Semua orang kata macam tu pada saya. Nama saya Mohd Aidil, awak boleh bahasakan saya Encik Aidil. Okay awak boleh sambung kerja sekarang.” Laju saja anggukkan Afira, dia kini sedikit tenang. Dia bersedia untuk bangun. “Cik Afira, saya rasa baik awak sapu ubat. Dahi tu dah sedikit bengkak,” Afira memberi senyum kelat kepada lelaki itu. Dia kini sudahpun keluar dari bilik itu, dia merengus kecil. Kenapa dia boleh jadi sepanik itu, kerongkongnya yang tiba-tiba boleh ketat sebegitu. Dia gelengkan kepala dan memegang dahinya memang sakit dirasakan. Dia tersenyum tak sangka bosnya begitu muda, kemungkinan tua beberapa tahun darinya. Dia tersenyum, handsome juga. Dia tersentap dan memandang jarinya dan salah satu jari dibengkokkan. Takkan Hani nak potong jari aku ni? Hmm... tapi apa pun bos dia memang kacak, dengan kulitnya yang putih kemerahan dan kaca mata yang menambah penampilannya. Dia merengus dan menyambung kerjanya sambil memegang dahinya, pedih. “Focus... focus, Fira!!!” dia memberi arahan pada dirinya. Namun, dia masih lagi tersenyum. Hani ketawa sepuasnya setelah mendengar cerita Afira, Afira mencubit peha temannya. Namun, gadis itu tetap tak berhenti ketawa. Afira memuncungkan bibirnya. “Hey, buruk kau muncung macam tu! Boleh sangkut baju.” Hani ketawa lagi. Afira masih muncung, berkali kali tangannya menepuk peha temannya. Afira mengecilkan matanya tanda dia marah dengan temannya yang masih lagi tak henti-henti ketawa. “Apa yang lucu sangat sampai kau ketawa macam ni? Cerita ni seriuslah.” “Taklah, aku hairan. Kenapa kau boleh boleh panik macam tu?” Afira garu kepalanya dan menjungkitkan bahunya. Dia merengus. Anak rambutnya di selit ke telinga. Sebenarnya, dia pun tak tahu macamana nak terangkan kejadian yang dihadapi pagi tadi. Tetapi, dia pun sebenarnya pun hairan kenapa dia boleh panik. Bukan dia jumpa raksaksa, cuma jumpa bos saja. Manusia macam dia juga. Hani ketawa lagi. “Entah?” “Setahu aku kau ni bukanlah seorang yang mudah panik. Handsome sangat ke?” Afira gigit bibir kemudian mencebikkan bibirnya. Susah untuk dia menjawab, kalau bagi dirinya Encik Mohd Aidil memang kacak dan budi bahasa. Dahinya dipegang, dia mengeluh. Hani dapat melihat temannya sedang berfikir sesuatu. Dia cuba membaca pada raut wajah manis itu. “Aku rasanya kau dah terpikat pada dia, betul tak?” suara Hani setelah dapat menangkap maksud dibalik raut wajah gadis itu. Afira mencebik dan mengerutkan dahi. “Kalau kata aku terpikat tu, mungkin? Tapi...aku ni staff dia aja, takkan dia pilih aku.” “Apa salahnya?” Afira membisu, direnungnya Hani seakan-akan berfikir. Afira terbayang, lelaki bernama Mohd Aidil. Lelaki itu menghampirinya dengan sejambak bunga dan mengucapkan kata-kata indah. Dia tersentak dan merenung Hani yang tersengih melihat perilakunya. Segera dia bingkas bangun dari sofa itu. “Why are we having this conversation? Dahlah malas aku nak layan kau, Hani. Aku nak tidur awal, esok kerja. Good night!” “Selamat bermimpi indah, okay?” 3 Dia sedikit awal hari ini, Afira menghela nafas sebelum melangkah masuk ke dalam bilik Mohd. Aidil. Nampaknya, lelaki itu belum tiba ke pejabat. Dia memandang sekeliling, susunan bilik itu biasa dan tidak terlalu banyak barang. Afira mengemaskan meja lelaki itu, dia meletakkan buku yang berselerak kembali ke tempat asal, di suatu sudut ada barisan bingkai gambar tersusun. Kebanyakkan adalah gambar lelaki itu bersama keluarganya atau gambar dia bersendirian. Dia memerhati lagi gambar itu dan satu antara gambar itu menimbulkan cemburunya. Aidil dengan seorang wanita, wanita itu cukup jelita. Memang sepadan wanita dengan lelaki itu, Afira memerhati gambar itu lagi. Dia merengus. Pintu bilik dikuak luas, lelaki itu melangkah kemas. Afira berlalu, dia malu seketika. “Fira, jangan lupa tempahan makan tengahari saya hari ini?” Pertama kali lelaki itu menyebut nama pendeknya dan tanpa perkataan cik dihadapannya. Terasa panas wajahnya. “Picolo Mondo untuk 4 orang, tengahari ini pukul 1 petang, Encik.” Mohd Aidil mengangguk tanda puas hati. “Encik, petang ni jadual encik free.” Lelaki itu cuma mengangguk dan tangannya membuka fail-fail yang berada di hadapannya. Afira berlalu dengan senyuman, dia lega lelaki itu puas hati. Baru saja dia mahu memulakan kerja, interkom berbunyi. Apa lagi yang diperlukan bos muda ini. Dia mengeluh dan segera menjawap, bosnya mahu dia masuk berjumpa dengannya. “Ya, Encik?” Afira mengerut dahi bila lelaki itu menghulurkan bungkusan berbalut kertas hadiah. Dia serba salah, direnung wajah lelaki itu tanpa berkelip. Kakinya ingin melangkah namun dia tidak dapat mengerakkannya. Digigit bibirnya dan masih merenung lelaki itu. “Kenapa muka awak pucat, ambillah. Sebenarnya ini hadiah dari ayah dan umi saya mereka selalu hadiahkan pada semua kakitangan disini kalau balik dari percutian. Nah!” “Betul ke?” “Awak ni cepat paniklah, Fira. Ambik ni, saya ikhlas.” Afira segera mengambilnya dan terus minta diri untuk keluar, dia dapat rasakan mukanya panas. Kenapalah dia suka buat spekulasi sendiri. Mujur lelaki itu tak perasaan kalau tak dia juga yang malu. Afira geleng kepala kerana kebodohan sendiri. Dia melihat hadiah yang siap berbungkus itu, apa agaknya isi di dalam bungkusan itu. Pintu bilik lelaki itu diperhatikan, dia berdecit dan menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Afira termenung di buaian. Dia terkenangkan apa yang telah berlaku sepanjang dia berkerja di syarikat itu, hairan kenapa dia boleh begini. Selama ini, dia tidak mudah gelabah atau panik berhadapan dengan insan bergelar lelaki walau sekacak mana pun orang itu. Dia juga boleh tahan dengan godaan mana-mana lelaki. Tetapi kenapa dengan lelaki itu, dia jadi begini. Dia begitu mudah panik dan mengelabah, hendak dikatakan lelaki itu bermain mata rasanya tidak. Terdengar bunyi deheman, Afira menoleh. Hani muncul dan menghampirinya, temannya berdiri di sebelah buaian besi itu. Ditangannya ada semug air. “Kenapa termenung ni?” “Aku rindu dengan opah aku di kampung,” dia memberi alasan, sengaja. Jika dia memberitahu hal tadi, pasti panjang ceritanya. Lagipun, dia memang rindu opahnya dikampung. Hani duduk di kerusi batu yang memang sedia ada di situ, Afira membuai buaian itu pelahan. Kedengaran berkeriut bunyi buaian besi itu apabila ladun besi bergerak mengikut buaian gadis itu. “So, ambiklah cuti. Baliklah kampung.” “Kau harus faham, Hani. Aku baru dua minggu kerja, takkan dah nak minta cuti. Apa kata bos aku nanti.” “Kau bukannya hamba sahaya dia sampai tak boleh minta cuti.” “Ermm...nantilah. Banyak masa. Esok kau ambil aku di office, aku nak kirim duit ke kampung.” Hani garu kepala, dia membisu. Kelihatan Hani seperti berfikir sesuatu. “Aku rasa tak dapat ambil kau. Aku ada kerja di Seremban, sorry. Tapi, kau boleh suruh office boy kau buat, Fira. Apa nak susahkan diri?” “Aku lebih suka buat sendiri bukan sebab aku tak percaya office boy tu!” Hani ketawa kecil dan menyanggulkan rambutnya. “Suka hati kaulah, Fira. Hmm...aku masuk dulu. Jangan duduk lama kat luar ni, okay.” Afira tidak menjawab, dia melihat Hani berlalu ke dalam rumah. Buaian di buai lagi dia mendongak memandang ke langit. Afira merengus. Dua minggu... dia sudah meninggalkan opahnya dua minggu. Dia merenung ke langit lagi dan berdoa agar wanita itu sentiasa di dalam keadaan sihat. Dia berkira-kira difikirannya, seandainya nanti dia sudah stabil di dalam pekerjaannya dia mahu membina sebuah rumah dan dia akan meminta wanita itu tinggal bersamanya. Dia hanya mahu wanita itu berehat, biar saja dia yang bekerja. Lagipun, dalam usia sebegitu tak perlulah opahnya bekerja lagi. Dia pun sudah dewasa dan bisa membantu tambahan kini, dia sudah bekerja. Itulah yang bermain difikirannya kini. Afira melangkah masuk ke dalam biliknya dan mencapai beberapa fail yang dibawa pulang untuk dibuat rujukkan.

Saturday, September 28, 2013

Adakah aku merajuk?

Aku merajuk...
Adakah air mata ini tidak menunjukkan apa apa padamu?
Mana mungkin kau bertanya aku merajuk?
Sepatutnya ini perasaanmu bukan aku...
Ada waktunya, kenangannya...
Bila hanya aku dihatimu... diingatanmu...
Tapi kita... saat ini... waktu ini..
Kesedihan, kecewa... sepi
Itu aku...

Aku jadi kelabu...
Tapi sekarang bukan lagi...
Kita sudah tamat.. selesai...
Jadi?
Aku merajuk..?

You don't get me back...

Dear, it took so long
Just to feel alright
Remember how to put back
The light in my eyes
I wish I had missed
The first time that we kissed
'Cause you broke all your promises
And now you're back you
But you don't get to get me back... 

Thursday, December 13, 2012

Kasih Sementara

Jari jemarimu menyentuhku Dedaunan melambai mengamit mengikut alunan angin Indah… Bibirmu mendenggungkan lagu Tapi matamu mengambarkan kesedihan Namun kau sembunyikan, bijak sekali Aku tidak mahu melihat kau sedih Aku ingatkan kau rasa begitu juga Selamat tinggal Selamat tinggal semua kenangan sementara Aku akan cuba melupakanmu Namun mampukah aku? Pergilah cinta sementaraku Aku ingin lupakanmu Aku sepatutnya tahu inilah kesudahnya Kasih sementara darimu Malam itu kita melewati semua kenangan Kau pegang tanganku kejap Indahnya… Kau pergi dengan kerdipan cinta itu Dengan kata-kata hikmah itu… Katamu kau tidak akan lupa segala kenangan kita Oh tidak! Aku buntu aku bingung Aku tidak boleh bergerak tanpa mengingatimu Aku tidak boleh bernafas tanpa memikirkanmu Aku tidak mampu hidup tanpa dirimu Kau telah pergi namun aku yang parah disini Pastinya kau bahagia disana tanpa ganggu Mudahnya untuk kau pergi meninggalkan aku yang termanggu disini.

Monday, November 12, 2012

Balang Hati

Kau ingat kau siapa? Datang dan pergi meninggalkan luka dihati, Mengumpal cinta dibalang hati, Lantas mencederakannya pula. Dinginnya hatimu itu, Seakan ais membeku dijiwamu, Jangan pernah kembali Wahai jiwa yang beku Kau ingat dirikan siapa? Tiada sisa dihati ini lagi... Wahai cinta Sudah sekian lama untuk merasa hidup kembali Sekelumit cahaya yang mampu aku hirup kembali Meloloskan diri dari gelap itu Kerana kau memungkiri semua janji, Kau kembali semula Tetapi jangan pernah kembali pada ku lagi...

Friday, June 8, 2012

Cintaku Hanya Kamu

11 Tangan lelaki itu mengetuk beberapa kali pintu kayu itu, Nasrun menjengah kepala di muka pintu. “Hai?” itu sahaja ungkapan yang keluar dari mulut Nasrun. Matanya dapat melihat gadis itu sedang terbongkok-bongkok membuat sesuatu. Gadis itu menoleh, bibirnya mengukirkan senyuman. Dia membetulkan kedudukan baju dan tudungnya. Nasrun menghampiri dan mereka duduk di sofa yang sedia ada di bilik itu. “Busy nampak? Menganggu?” suara lelaki dan menoleh ke arah apa yang ada di meja gadis itu. Intan Suria tersenyum cuma, bahunya dijungkitkan. “Nope, just work and talk?” “Work and talk?” dia tidak mengerti. Intan Suria mengangguk, dia senyum meleret Mata Nasrun memandang gerak geri gadis dihadapannya. Intan Suria melihat keanehan temannya dan mengangkat kening sebagai pertanyaan. “Sorry, cuma you kelihatan manis sekali.” Intan Suria ketawa, ceria seperti selalu. Nasrun kagum seketika melihat senyuman itu. Dia terpikat, namun perasaan itu ditempis. “Kita lunch?” “Maaf, ada yang perlu diselesaikan. Lagipun, Sharina dah belikan makanan?” Nasrun mengeluh, diselangi nada kecewa. Dia bangun dan membuat mimik muka dan melangkah keluar setelah meminta diri. “Next time... Waktu tu you sedikit pun tak boleh menolak.” Intan Suria mengangguk, dia hanya melihat lelaki itu melangkah keluar dari biliknya. Dia sedikit pelik dengan gelagat Nasrun hari itu. “Pelik, kenapa dengan dia?” bicara hatinya. Sharina Hazlifa baru sahaja keluar dari bilik Intan Suria bila Chairil Aizad interkomnya. Dia segera meluru masuk kedalam bilik bos muda itu. “Yup?” suara gadis itu. “You tempah dua tiket ke London untuk awal bulan depan.” “Dua tiket? Nama?” tanya Sharina Hazlifa. Chairil Aizad berdehem, dia mengetap bibir. “Satu nama saya, satu lagi KIV dulu. Apa pun tempah saja dua tiket ke London, okey?” Gadis itu mengangguk dan berlalu dari bilik itu. Lelaki itu mencapai gaggang telefon dan mendail nombor di dada telefon. “Ann…abang nak jumpa Ann masa lunch boleh? Ada hal penting?” Gaggang telefon diletakkan kembali diperaduan. Dia memerhati jam ada dua jam lagi untuk makan tengahari. Pintu bilik diketuk dan pintu itu kemudian. “Ini fail yang bos minta, saya dah kecilkan maklumat tu. In case bos mahu?” Chairil Aizad mengangguk. Intan Suria melihat wajah lelaki itu, berlainan dari selalu. Dia sendiri tidak dapat mentafsirkan raut wajah itu. “Bos nak ke London?” Lelaki itu mengangkat wajahnya dan merenung wajah gadis yang berada didepan itu. “Sorry, Sha yang beritahu tadi. I… erm…bos marah?” tanya Intan Suria. Chairil Aizad menggeleng kepalanya dan bangun dari kerusinya. “Sorry for asking, are you okay?” “Yes and no…” Intan Suria pula keliru dengan jawapan itu. Dia merengus dan berlalu meninggalkan lelaki itu. Dia nampak Fahmi dan Nasrun muncul di ruang pejabat, Intan Suria melemparkan sebuah senyuman dan kembali ke biliknya. “Sudi tak kalau you keluar minum dengan I?” tanya Chairil Aizad sebelum gadis itu melangkah keluar. Namun, Intan Suria tidak segera menjawab. Dia memandang Nasrun dan Fahmi. “Well, you tak perlu jawab sekarang.” Nasrun menoleh ke arah Intan Suria untuk melihat reaksi gadis itu, namun gadis itu cuma mengangguk dan berlalu. Dia mengalih pandangan ke arah temannya. “Anything?” Fahmi menyerahkan beberapa fail kepada Nasrun di biliknya. Kelihatan lelaki itu sibuk melayani panggilan telefon dan dia menulis sesuatu di atas note pad. Fahmi cuma melihat gelagat temannya, dia senyum. “Hmm... jom keluar lunch. Lapar pulak!” “Kau tak lunch di rumah ke hari ini?” “Tak, Khalidah ada kat rumah mak dia di Meru.” Nasrun juihkan bibir. “Kenapa mak mertua kau?” “Bukan mak mertua aku sakit, malam ni adik Khalidah nak ke Perancis melanjutkan pelajaran di sana.” Jelas Fahmi. “Jomlah, ajak sekali Ril.” “Dia nak lunch dengan buah hatinya.” Nasrun ketawa dan bangun mengikut Fahmi. Mereka bertembung dengan Intan Suria dan Sharina Hazlifa. “Cik Intan, Sha marilah lunch dengan kami sekali?” “Okay tapi Encik Fahmi belanja?” suara Sharina Hazlifa sedikit manja. Intan Suria menyiku gadis disisinya. Fahmi ketawa kecil dan mengangguk. Mereka berempat berlalu dan menuju ke arah lif untuk menuju kearah basement. “Kita nak lunch di mana, Encik Fahmi.” “Tunggu dan tengok...” ringkas jawapan lelaki itu. Fahmi memberhentikan kereta di basment, Intan Suria dan Sharina Hazlifa sudah pun melangkah keluar dari perut kereta. “Thanks, Encik Fahmi kerana sudi belanja kami makan. It was nice!” Fahmi mengangguk dengan ucapan Intan Suria. Nasrun mendekati temannya. “She is so polite, jelas sekali Intan Suria layak kalau digelarkan Gadis Melayu.” “Kau pun rasa macam tu?” Fahmi mengangguk dan mereka melangkah menuju ke arah lif. Keadaan dibasement sedikit sunyi, hanya kedengaran bunyi dengungan angin di paip pengaliran udara. Fahmi membetulkan tali lehernya. “Jelaskan? Semoden-moden Intan Suria masih ada ciri ketimurannya. Bukan kerana dia bertudung atau berbaju kurung, tetapi sikap dan sifat dia. Kalau dia disunting menjadi isteri, tentu sekali lelaki itu seorang yang bertuah,” panjang ujaran Fahmi. Nasrun membisu. “Nas, sejak kita keluar lunch sampai sekarang aku tengok kau banyak diam. Aku juga perasan kau asyik tenung wajah Intan Suria. Kenapa?” tanya Fahmi. “Aku ada masalah, Fahmi.” Fahmi memandang temannya. “Masalah... bunyi macam besar aja?” “I’m in love!” Fahmi ketawa kecil, bunyi dentingan lif kedengaran dan pintunya terbuka. Kedua lelaki itu melangkah masuk dan Fahmi menekan butang untuk ke ruang kerja mereka. “Memanglah... sekarang kau dengan Shelia, kan?” “No, aku... rasa aku sudah jatuh cinta dengan Intan Suria.” “Intan Suria??? Jangan buat gila, Nas. Intan Suria bukan gadis yang boleh kau permainkan.” Nasrun berdecit. “I know that! But... makin lama ia makin kuat, Mi. Aku pun rungsing memikirkannya.” “Kau rasa itu cinta bukan sebab lain?” Nasrun menjungkit bahu. Dentingan pintu lif membuatkan perbicaraan mereka terhenti. “Kita akan bicara lagi tentang hal ni, Nas.” Nasrun cuma memandang Fahmi tanpa sebarang respon. Chairil Aizad menanti Ann di restoran yang dijanjikan. Gadis itu lewat tiga minit dari masa yang dijanjikan. Lelaki itu mengeluh lega apabila melihat wajah gadis itu. Kelihatan Ann termengah-mengah. “Itulah kalau abang jemput tadi tak ada termengah macam ni,” suara Chairil Aizad. Ann menarik nafas panjang. Peluh yang terbit didahi di lap dengan tisu. “Saja Ann tak nak abang jemput. Kenapa abang nak jumpa Ann, mustahak sangat ke?” “Aik! Nak lunch dengan buah hati pun tak boleh?” “Boleh. Tapi, tadi bunyi macam mustahak sangat? Kenapa?” Seorang pelayan muncul untuk mengambil pesanan makanan mereka. Chairil Aizad memandang gadis di hadapannya, Ann tunduk malu. “Ann, ikut abang ke London bulan depan?” Ann angkat muka dan memandang lelaki itu, gadis itu tidak percaya dengan apa yang didengarnya. “London, kenapa?” tanya Ann. Pelayan muncul dengan makanan yang mereka pesan. “Abang nak kenalkan Ann dengan parent abang, lagipun abang dah beritahu mereka tentang Ann.” “What? Bukankah terlalu awal untuk itu?” “Tapi, sayang...” “Abang lupa pada janji abang... Abang lupa!” “No, Ann. Abang ingat janji abang. Abang hanya mahu Ann ikut abang dan abang mahu Ann tahu yang abang benar-benar serius.” Ann telan air liur, dia mengeluh. Dia memandang wajah lelaki dihadapannya, benar sekali... lelaki itu teramat serius. Ann mengigit bibirnya. “Ann masih belum sedia, abang. Belum sedia...” Chairil Aizad mengeluarkan kotak cincin berbaldu merah dan diletakkan dihadapan Ann. Hampir tersedak gadis itu melihat kotak cincin itu, Chairil Aizad memandang Ann dengan penuh harapan agar gadis itu menerima lamarannya. Dia tahu ianya tidak mengikut adat namun ini saja caranya untuk membolehkan Ann menjadi miliknya. Dia lihat Ann masih lagi kaku memandang kotak cincin itu. Ann mencapai juga kotak itu dan membuka kotak itu. Dia bagai menahan nafas dan memandang lelaki dihadapannya. Ann telan air liur, dia jadi sebak seketika. Chairil Aizad serba salah bila melihat air mata gadis itu. Hanya kata-kata maaf sahaja yang mampu dia ucapkan bagi memujuk gadis itu. Intan Suria mengeliat kecil di kerusinya. Dia keletihan... beberapa hari ini dia seperti kurang tidur. Kerinduan barangkali, tapi pada siapa. Dia senyum. Tentu sekali pada datuknya di kampung. Entah bila dia akan bercuti, dia perlu pulang ke kampung. Rindu sangat hatinya untuk bertemu datuk dan kucing kesayangannya. Dia bingkas bangun dari kerusi dan berjalan ke arah tingkap. Bidai itu diselak dan dia dapat melihat suasana diluar yang begitu sibuk. Cahaya matahari juga kelihatan masih terang memancar menyuluh alam. Intan Suria mengeliat lagi, terasa badannya letih sekali. Pintu diketuk dan dia mengarah agar orang itu masuk. “Intan?” Dia tersentak dan menoleh. “Maaf, ingatkan Sha. Kenapa Encik Chairil?” “Nothing, hanya nak hantar notis-notis ini. Awak kelihatan seperti keletihan?” “Kurang tidur...” “Saya rasa awak patut ambil cuti.” “Tapi, saya lihat bos lebih memerlukan cuti dari saya.” Chairil Aizad tersengih dan mengusap dagunya yang mula tubuh jangut. Beberapa hari ini dia kurang memberi perhatian kepada dirinya. “Apa kata Encik Chairil yang ambil cuti?” “Awak tu yang tidak pernah bercuti sejak kerja di sini.” “Saya rasa bos pun sama.” Chairil Aizad ketawa kecil dan mula beredar ke pintu. “Take a vacation, Intan.” Intan Suria mengangguk dan memandang notis yang diletakkan di mejanya. Chairil Aizad melangkah keluar dari biliknya. Lelaki itu kelihatan seperti rungsing akan sesuatu. Barangkali masalah keluarga atau teman wanita, duganya. “Agh... laparnya,” bisik hatinya dan bingkas bangun. Jam ditangan menunjukkan satu petang. Intan Suria melangkah keluar bilik. Dilewati meja Sharina Hazlifa namun gadis itu tidak kelihatan dimejanya. Pasti sudah keluar, duga hatinya. Intan Suria gelengkan kepala, dia benar-benar lapar. Salahnya juga kerana tidak memesan kepada Sharina Hazlifa. Matanya memandang pintu pantri, segera dia melangkah ke sana untuk mencari sesuatu yang boleh dijadikan alas perut. Tangannya pantas membuka pintu pantri, Intan Suria terkejut melihat Chairil Aizad di situ, lelaki itu membelakanginya. “Encik?” Lelaki itu menoleh, dia merenung tepat ke wajah gadis itu. Intan Suria kelihatan terganggu dengan renungan itu. “Kenapa, Encik? I ada buat salah?” Pantas Chairil Aizad segera gelengkan kepala dan melangkah, mereka berselisih di muka pintu. Intan Suria tidak mengerti dengan tindakkan lelaki itu. Dia melewati kedai-kedai di ruang legar pusat membeli belah itu. Sebenarnya dia sendiri tidak pasti apa yang ingin dibeli. Hajat hati ingin membeli sesuatu sebelum pulang cuti ke kampung. Matanya meliar mencari barangan yang patut dia beli untuk datuknya. Di suatu gerai dia tertarik akan koleksi-koleksi terbaru tudung yang pelbagai warna dan jenis begitu juga dengan brooch yang pelbagai bentuk. Intan Suria menawar harga bagi barangan yang ingin dia beli. Telefon bimbitnya berdering nyaring. “Cik Intan, kata nak shopping?” “Sha, saya tengah shopping ni? Awak di mana?” “Cik shopping sorang-sorang? Tak tunggu saya, okey cik di mana sekarang?” Intan Suria ketawa kecil. “Maju Junction. Marilah.” “Maju Junction. Saya akan datang, lepas tu kita lunch sama-sama.” “Okey, saya tunggu di sini, dua puluh minit awak tak sampai, saya tinggalkan awak.” Talian diputuskan. Intan Suria ketawa kecil, dia memandang sekeliling. Dia terpandang kedai Saba Islamic Media, pantas dia berlalu ke arah kedai itu. Teringin untuk dia membeli beberapa koleksi buku-buku agama yang sesuai untuk bacaannya. Dikedai itu dia terpandang wajah yang amat dikenalinya. Dia sedikit ragu untuk melangkah masuk namun entah kenapa kakinya tetap melangkah masuk ke dalam kedai itu. Intan Suria telan air liur bila lelaki itu memandangnya dan tersenyum. “Intan?” “Ya...” Jawabnya dan memandang buku di tangan lelaki itu. “Tak sangka jumpa Intan di sini?” Intan Suria tidak menjawab. Mereka berpandangan namun tidak bersuara. “Abang?” Intan Suria tersentak, seorang gadis yang lebih muda dari dirinya menghampiri lelaki itu. Dia tersenyum dan tanpa bersuara dia berlalu melangkah keluar dari kedai itu. Entah kenapa dia bersikap demikian. Cemburu? Rasanya tidak, siapa dia untuk merasakan cemburu. Dia mengeluh, perasaan merpakan sesuatu yang misteri. Dia segera menuju ke lobi pusat membeli belah itu, dirasakan Sharina Hazlifa mungkin sudah tiba. Dia berlalu dihadapan kedai bunga dan melihat bunga-bunga segar di situ. “Nak hadiah bunga pada siapa?” satu suara memeranjatkannya. Dia menoleh. Gadis itu ketawa. “Sha, lambat sangat tau! Lenguh saya tunggu awak kat sini... Lain kali saya tak mahu tunggu awak, okey?” “Jangan marah cik. Terperangkap dalam traffic jem yang maha teruk sekali.” Intan Suria buat mimik muka. “Cik, jangan merajuk. Susah saya nak pujuk. Lagipun, tak comel kalau cik merajuk.” Intan Suria tunduk malu dengan usik gadis itu. Mereka berdua ketawa. “Kita makan dulu boleh tak, cik? Saya kelaparanlah?” Intan Suria turut mengangguk kerana dia juga rasa perutnya lapar kerana terlalu lama menunggu. “Nanti lima hari cik tak ada bosanlah saya. Tak ada siapa nak gurau...” “Iya ke? Bukankah kalau saya tak ada dipejabat, kerja awak ringan.” Jawabnya membalas kata gadis itu. Sharina Hazlifa menyuap makan, dahinya dikerutkan seperti tanda marah. “Cik ada atau tidak sama saja... kerja tetap jalan. Kalau tak ada cik, Encik Nasrun pun sibuk minta saya buat itu ini. Encik Fahmi pun sama...” Intan Suria ketawa kecil. Air minuman di teguk. “Kasihan juga awak, Sha. Jadi all rounder, tak mengapalah itukan dah kerja namanya.” “Cik, kalau tak ingatkan kerja, lama dah saya balik kampung tanam jagung,” ujar gadis itu. Intan Suria ketawa diikuti oleh Sharina Hazlifa. Intan Suria mengisi air di dalam termos dan mengemas meja makan. Si Itam yang entah dari mana muncul di dapur dan mula mengesel kakinya. Intan Suria membiarkan saja. “Itam… lapar ke?” Si Itam mengiau sebagai tanda iya. Gadis itu segera memeluk dan mengosok bulu kucing itu. Dia meletak kembali kucing itu dan mencapai tulang ikan dan nasi sejuk, digaul bersama dan dihidang kepada kucing kesayangannya. Intan Suria membiarkan kucingnya makan, dia berlalu ke ruang tamu dengan dulang berisi secawan kopi panas dan kuih bingka ubi. “Atuk, bila atuk nak ke KL?” “Atuk tak larat nak jalan. Lagipun tak ada apa untuk atuk disana.” Intan Suria mengeluh. “Anak dan cucu-cucu atuk kan ada?” “Ish… biarlah atuk kat sini saja. Kalau mereka masih ingat atuk, tahulah mereka cari atuk nih.” Intan Suria tersenyum memandang datuknya, lelaki itu mencapai cawan dan dihirup perlahan. Intan Suria mengalihkan pandangan ke arah Si Itam. Tuk Leh berdehem dan Si Itam mengiau untuk menandakan kehadirannya di ruang itu. Intan Suria membiarkan sahaja Si Itam memanjat pehanya, tangan kirinya mengusap bulu Si Itam. “Atuk, jom kita ke pekan.” “Buat apa?” “Saja, lagipun atuk tak pernah naik kereta baru saya tu!” Tuk Leh ketawa kecil dan bingkas bangun dari kerusi rotan. “Hmmm… merasa atuk naik kereta cantik kamu,” ujar Tuk Leh. Mereka beriringan ke arah FORD LYNX milik Intan Suria yang baru dibeli dua minggu lepas.

Tuesday, January 10, 2012

THE RIDERS


Aku memerhati monitor di bahagian alat pengawal dan cuba menambah kelajuan. Kalau boleh aku mahu kami tiba dengan segera ke sana. Aku tak sabar untuk menghentikan kekuasaan Bax. Mereka sudah terlalu lama muncul membuat kacau. Aku harap mereka belum mengetahui cara untuk memperoses bahan itu. Kata ayahku dulu V20-k-08D-21kqc, amat berbahaya. Hingga kini, belum jumpa penawar atau cara yang terbaik untuk menghapuskannya. Ibu juga mengatakan bahan itu wujud kerana kesilapan mereka. Ini kerana V20-k-08D-21kqc wujud adalah untuk menghapuskan semua jenis pemberontak dan para penjenayah yang ada pada ketika itu. Tetapi ianya jatuh ke tangan musuh dan mereka cuba memusnahkannya tetapi malangnya Afrika Utara hampir empat puluh peratus tenggelam akibat cubaan untuk memusnahkannya.
Kali ini aku mahu memastikan tiada kesilapan yang akan berlaku. Kalau boleh di sinilah aku mahu menghapuskan Bax terutama Chrome dan Vilus.
"Zapp, there is a vessel approach!" laung Ming Po. Aku segera menghampirinya. Milik siapakah kapal itu, mustahil kapal boleh terbang?
"Make our craft disappeared, Ming Po!"
Ming Po mengangkat tabiknya. Dia menaip sesuatu di kekunci kawalan, dan lampu di lobi bertukar suram dan kemudian menjadi ungu. Ak pasti kapal terbang The Rider pasti tidak dapat di kesan.
"Cage kau rasa kapal tu milik kumpulan mana?"
Cage melihat kapal itu melalui monitor dan memeriksa keseluruhan kapal itu.
"Iyanya bukan milik Bax. Iyanya juga bukan milik pemberontak yang kita kenali. Ini kumpulan asing, Zapp," jela Cage. Aku kerutkan dahi dan mengusap dagu. Kumpulan baru!!! Ataupun kumpulan Bax yang menyamar, manalah tahu mereka cuba mengubah perhatian orang ramai bagi menganggap mereka tak bersalah. Bax banyak muslihatnya. Aku tekan alat komunikasi.
"Trisya, cuba kaji milik siapa kapal ini." Arahku kepada Trisya.
"Sure boss, it will take a moments," jelas Trisya di dalam talian itu.
"Cepat, Trisya!!!"
Aku menekan alat komunikasi, aku pasti Baxlah jawapannya. Aku mengeluh, buat masa ini perjalanan kami tiada gangguan. Tetapi aku pasti this will be exciting and adventuring. Terutama sekali jika Bax turut masuk campur. Oh yes! I' m sure that Vilus and Chrome don't what to miss this. This will be the fight of the year. Aku senyum sendiri, ingin sekali aku mengetahui kesudahannya. Alat komunikasi berkelip, aku menekannya. Pasti Trisya memberitahu tentang apa yang aku suruh sebentar tadi.
"Yes, Trisya?"
"Boss, mmm…kapal tu bukan milik Bax, Spin Snow, Bubbles, Cats Fighters, Digius atau Geng Valleys. Kami tak pasti kumpulan mana? Sorry, boss."
"Tak mungkin. Kau pasti, Trisya?" tanyaku. Aku gigit bibir. Pelik? Bukan ahli kumpulan Bax. Aku mengeluh dan menghampiri Cage.
"Cage, kali ini Bax jadi orang baik ke?" gurauku.
"Zapp…"
Aku berlalu ke bilik, kemusyhkilan masih berlanda dalam diriku. Siapa mereka? Makhluk asing? Alien…got to be kidding, aku mengeluh. Aku lantas mengaru tengkukku, aku tersentuh rantai yang aku pakai. Aku keluarkan rantai itu, terdapat loket milik nenek Izzat. Pintu bilikku terbuka, Cage melangkah masuk.