Sunday, November 16, 2008

Jangan Pernah Berubah


Dia melangkah masuk ke dalam rumah itu yang telah dia tinggalkan 2 bulan yang lalu. Matanya mencari di sekeliling, dia mendongak memandang ke tingkat atas. Kakinya pelahan-lahan melangkah meniti tangga batu itu. Bunyi batuk kedengaran, kemudian makin jelas. Pintu ditolak pelahan-lahan, dia dapat lihat seorang lelaki sedang menahan batuknya di birai katil. Lelaki itu menoleh sedikit.
“Kenapa kembali? Bukankah kau sudah pergi?”
“Salahkah saya kembali?”
Lelaki itu cuba bangun, namun duduk kembali. Digagah juga untuk bangun namun tidak berjaya, dia mahu menghampiri namun dia memberi isyarat agar dia tidak menghampiri.
“Sudah aku katakan, tinggalkan aku sendiri?”
“Tidak!!!” suaranya, sedikit tegas.
“Aku tak mahu tengok muka kau! Faham tak!”
“Kali ini saya takkan pergi...”
“Kau menyusahkan aku...”
“Kenapa mesti jadi begini? Tolong jangan begini,” pintanya.
“Kau tak faham...”
“Memang tak faham? Kenapa begini? Terangkan kenapa begini?”
Lelaki itu batuk lagi dan kedengaranya agak parah. Dia menghampiri dan membantu lelaki itu. Dia ditolak, pertolongannya tidak diperlukan. Namun, dia menegaskan juga. Mereka berpandangan, dia dapat lihat didalam mata lelaki itu kehadirannya amat lelaki itu perlukan. Dia membantu lelaki itu untuk ke dalam bilik air.
“Mula hari ini, saya tak akan pergi. Saya akan jaga abang...”
Katil telah dikemaskan. Tingkap yang kelihatan sudah lama tertutup, dibuka. Dia menoleh, lelaki itu sudah pun keluar dari bilik air. Dia memapah lelaki itu walaupun beberapa kali lelaki itu menempis tangannya.
“Tolonglah, jangan macam ni...” pintanya lembut. Dia dapat mendengar dengusan lelaki itu. Dia masih lagi membantu, dipapah lelaki itu sehingga ke kerusi malas.
“Saya bawakan bubur kegemaran, abang.”
Lelaki itu memandangnya tepat, barangkali terkejut mendengar panggilan itu. Wanita tersenyum.
“Makan... Nah!” suaranya lembut memujuk.
Lelaki itu menurut sahaja, membuka mulut menerima segala suapan wanita itu. Dikesat jua sisa yang terdapat dibibir lelaki itu. Dia tersenyum kerana lelaki itu makan. Kemudian dipapah kembali lelaki itu ke katil. Mereka berpandangan lagi.
“Terima kasih...” ringkas sahaja ucapan lelaki itu. Dia mengangguk dan menyelimut tubuh cengkung lelaki itu.
“Sekarang abang tidur...”
“Kenapa kau kembali, Nuria?” lemah sekali pertanyaan.
“Jangan tanya lagi, sekarang abang tidur. Rehat!”
“Tolonglah... tinggalkan aku sendiri. Pergi!”
Dia tersenyum dan menggelengkan kepalanya.
“Kali ini tidak..!”
Lelaki itu berpaling dan memejamkan mata. Wanita bernama Nuria itu, mengeluh dan mengambil semula mangkuk tadi. Dia melangkah keluar dari bilik itu, pintu bilik itu ditutup.
Beberapa kanak-kanak berlari-lari meniti tangga dan kedengaran suara melarang. Dia tersenyum, beberapa kali mak andam membetulkan tudungnya yang sesekali kelihatan senget. Teman-temannya muncul serta mengusik-usiknya, dia tersipu-sipu malu. Paluan kompang di laman rumah, bergema bagai memberitahu pengantin lelaki sudah hampir. Mak andam menghabiskan solekkan yang terakhir. Ibu saudaranya muncul dan bertanyakkan samada dia sudah siap diandam atau belum.
“Pengantin lelaki dah tiba!!!” suara di luar melaung. Ibu saudaranya muncul dan membawanya keluar dari bilik itu.
“Baik-baik jatuh pula pengantin tu...”
Suara usik-usikkan kedengaran dan bunyi ketawa kedengaran. Dia senyum, perasaan bercampur-campur. Gembira, sedih, lega dan semuanya berulang-ulang. Dia menarik nafas panjang bila dilihat wajah si suami muncul. Pandangan mata lelaki itu membuatkan cintanya bertambah dan dia berjanji di dalam hatinya dia takkan meninggalkan lelaki itu. Walau bagaimana susah pun, cintanya akan tetap kepada lelaki itu.
Dia tersedar bila terdengar bunyi batuk lelaki itu, segera dia menghampir lelaki itu. Lelaki itu masih lagi terlelap, dia memegang dahi lelaki itu sedikit panas. Tangannya mencapai tuala yang telah direndam dengan ais, diperah tuala itu kemudian di letakkan ke dahi lelaki itu. Dia duduk kembali di kerusi besar itu, album yang tadi dia pegang dicapai kembali. Setiap halaman di dalam album itu dilihat, dan setiap gambar di situ membuatnya tersenyum.
Dia terkenang bila dia mula bercinta dengan lelaki itu, semua orang mengatakan dia lelaki yang ego. Pernah sekali lelaki itu memarahinya kerana salah cetak nama diatas surat-surat. Tetapi, setelah selesai mesyuarat petang itu dengan penuh gaya kelelakiannya, lelaki itu muncul diruang kerjanya dengan jambangan mawar merah dan melutut meminta maaf. Sejak itu mereka makin rapat dan ketika itu cinta mula subur dihati masing-masing. Lelaki itu memang pandai mengambil hatinya, walaupun adakala dia kelihatan ego tetapi orangnya lemah lembut serta bersopan santun. Kemudian, lelaki itu melamarnya dan sekelip mata dia bersetuju. Beberapa bulan, kemudian lelaki itu menghantar rombongan meminang dan akhirnya impiannya tercapai untuk menjadi isteri kepada lelaki itu. Suara Imam menikahinya masih kedengaran walaupun sudah tiga tahun berlalu, dia mengeluh dan tersenyum sendiri.
Tetapi itu semua sudah berlalu walaupun kenangan-kenangan itu begitu kuat bermain diingatannya. Dia menoleh ke arah lelaki itu yang terbaring lesu dikatil. Wanita itu memandang lelaki itu, kalau dulu lelaki itu sudah bersiap-siap untuk ke pejabat dengan gayanya tetapi tidak lagi kini. Lelaki itu hanya terbaring lesu, sesekali matanya memandang ke arah tingkap. Air matanya yang mula menitis segera disapu. Dia tidak mahu lelaki itu melihatnya menangis.
“Abang, sudah masa makan ubat..” suaranya.
“Tidak.. aku dah tak lalu.”
“Jangan macam ni, tolonglah. Sikit saja...” pujuknya lembut.
Lelaki itu memalingkan wajahnya. Tangannya mencapai ubat yang ada di atas meja.
“Aku dah kata tak mahu, kau tak faham? Sudah!!! Pergi..! Aku tak mahu lihat wajah kau... Pergi!!!”
Dia menelan air liur kerana tengkingan lelaki itu.
“Tidak, abang kena dengar cakap saya. Sekarang makan ubat ni! Tolonglah!” pintanya lagi. Suara yang tadi ditinggikan, direndahkan kembali. Dia memandang lelaki itu, Nuria beristighfar berkali-kali kerana telah meninggikan suara kepada lelaki yang dia gelar suami.
“Jangan macam ni, tolonglah...”
Lelaki itu bingkas bangun dari baringannya. Jelas sekali dia mahu bangun dari katilnya. Dia mahu membantu tetapi lelaki itu melarang untuk dia mendekati, jadi dia hanya mengekori dari belakang sekirannya ada sesuatu yang berlaku. Dia dapat melihat lelaki itu bersandar seketika di dinding sebelum meneruskan perjalanannya ke arah yang ingin dituju.
“Abang biarlah saya bantu?”
Lelaki itu membisu, dia pasti lelaki itu tidak mahu bantuannya. Dia masih mengekori, sesekali dia dapat mendengar bunyi nafas lelaki itu yang jelas kedengaran. Langkah lelaki itu sedikit terhuyung hayang, ini merisaukannya.
“Abang nak ke mana?”
“Biarkan aku!!!” suaranya diselangi batuk.
Nuria mengeluh dan masih mengekori suaminya. Mereka ditingkat bawah rumah, lelaki itu menuju ke ruang tamu. Dia duduk di kerusi goyang yang ada di ruangan itu.
“Abang nak minum, boleh saya ambilkan?” tanyanya.
“Aku kata jangan ganggu aku, kau tak faham bahasa ke?” marah lelaki itu namun kemudian digosok dadanya berkali-kali. Batuknya kedengaran lagi. Nuria memandang sekeliling ruang tamu itu, begitu berhabuk. Barangkali tidak terurus setelah pemergiannya.
“Saya tahu abang marahkan saya. Tetapi, saya pohon pada abang berilah saya peluang. Berilah peluang saya menjadi isteri abang, biarlah saya tunaikan tanggungjawab saya.”
“Pergi!!! Pergi!!! Tiada apa yang perlu kau tunaikan disini, Nuria. Dulu sudah aku nyatakan. Tiada apa yang berubah...” Nuria tunduk dengan kata-kata lelaki itu. Dia mengalihkan pandangannya kemudian beralih ke laman rumah. Air matanya dikesat. Dipandang rumput hijau dilaman rumah itu, dia terkenang bagaimana lelaki itu memberitahunya tentang penyakit yang dihidapi. Nuria masih tidak boleh lupakan keadaan ketika itu.
“Kanser??? Kanser???” Matanya memandang lelaki itu mencari kepastian dimata lelaki itu. Tetapi lelaki itu melarikan wajahnya dari renungannya.
“Macamana??? Boleh diubati tak?” tanyanya bertalu-talu.
“Tak ada harapan...” rendah sahaja bunyi suara lelaki itu.
Hatinya luluh mendengar , dia terjelopok di laman itu dan menangis.
“Jangan menangis...”
“Kita berubat... kita berubat cara tradisional, homeopati, moden... apa saja cara. Kita cuba...” Wanita itu bangun dan menghampiri suaminya.
Lelaki itu diam mendengar cadangannya. Lelaki itu menjauh dari wanita itu.
“Abang kita tidak boleh biarkan sahaja. Mungkin...”
Lelaki itu berpaling, wajahnya berubah.
“Sudah!” tengkingan lelaki itu mengejutkan wanita itu. Dia terkejut dengan tengkingan itu, dipegang dadanya dan beristighfar. Dia mendekatkan dirinya pada lelaki itu tetapi tangan lelaki itu pantas menempisnya.
“Tidak... janganlah abang begini, kita tidak boleh putus asa. Kita perlu buat sesuatu. Kenapa abang mahu putus asa...”
“Sudah!!! Sudah!!! Jangan cakap banyak... Diam... Aku tak mahu dengar apa-apa pun...” suara lelaki itu
“Kita jumpa abah dan umi?”
Lelaki itu memandangnya dengan pandangan yang begitu bengis. Dia sedikit terkesima dengan pandangan itu. Dia tahu lelaki itu tidak mahu apa-apa pertolongan dengan abah dan umi.
Guruh berdentum, dia menoleh. Lama sekali dia berada dilaman itu, entah apa yang terjadi kepada suaminya. Dia melangkah masuk, dia lihat lelaki itu terlena dikerusi goyang di ruang tamu. Dia berlalu ke bilik dan mengambil selimut dan menyelimut tubuh lelaki itu, dia duduk di sisi lelaki itu. Dia sendiri tidak pasti kenapa lelaki itu membenci ibu bapanya sendiri, tetapi apa yang dia tahu keluarga suaminya tidak pernah merestui perhubungannya serta perkahwinannya. Seorang kerani mana mungkin bersama dengan anak Tan Sri, itu yang dikatakan ayah lelaki itu. Tetapi lelaki itu berdegil mahu berkahwin dengannya. Ketika lelaki itu mula sakit, abahnya tidak pernah sekali menjenguknya apatah lagi menelefon tetapi dia setia disisi lelaki bergelar suami itu sehingga suatu hari.
“Hah! Kamu isterinya... kamulah jaga suami kamu! Kenapa nak minta pertolongan dari kami.”
“Tapi, Tan Sri... Puan Sri... dia anak kandung Tan Sri dan Puan Sri...” Suaranya ketika bertemu dengan keluarga mertuanya. Itupun hanya dihadapan pintu pagar.
“Dia sendiri yang mengatakan kami bukan parent dia, jadi biarlah dia merasa susah!” suara si ibu bergelar Puan Sri itu.
Nuria beristighfar... selama hidupnya belum pernah dia mendengar seorang ibu berkata begitu. Begitu keras sekali hati mereka. Adakah pangkat, wang serta darjat mampu membuat seseorang begitu keras hatinya. Dia terdiam, kemudia meminta diri melangkah pergi dari rumah besar itu. bagaimana lagi harus dia membantu suaminya.
“Aku benci kau... Kau keluar dari sini. Perempuan tak berguna. Pergi!!!” Itu sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya. Perkataan-perkataan yang tidak pernah dibayangkan keluar dari mulut suaminya. Jiwanya patah mendengar sumpah seranah lelaki itu. Lelaki itu membuang semua pakaian dan barang-barangnya malahan gambar perkahwinan yang tergantung diruang tamu turut dibuang. Berkali-kali dia meminta kemaafan serta penjelasan dari lelaki itu namun tidak berguna. Beribu kali dia cuba mencari jawapan dengan perbuatan lelaki itu namun sia-sia, tiada pengakhiran. Dia sendiri tertanya-tanya kenapa lelaki itu menghalaunya sedangkan ketika itu, lelaki itu memang memerlukannya.
“Abang nak apa-apa?” tanyanya bila dilihat lelaki itu tersedar dari lenanya. Tangannya pantas membetulkan selimut yang mulai jatuh ke paras pinggang. Lelaki itu memandangnya, dia tersenyum. Lelaki itu cuba untuk bangun.
“Abang nak ke mana? Beritahu pada saya?” suaranya seakan-akan memujuk. Namun kedegilan lelaki itu membuatnya mengeluh, dia hanya melihat lelaki itu bangun dari kerusi goyang dan berlalu. Nuria mengekori lelaki itu dan hanya membiarkan. Kedegilan lelaki itu tidak pernah berubah walau sepinci pun. Dilihat lelaki itu kembali ke katil, mujurlah dia sudah mengemas bilik dan katil itu.
“Abang lupa makan ubat?” suaranya.
“Aku dah jemu...”
“Kalau begini, macamana nak sembuh...”
Lelaki itu merengus, dia tersedar barangkali dia sudah tersalah kata. Bibir bawah digigitnya.
“Abang nak makan? Nak minum?”
Lelaki itu membetul kedudukan tidurnya. Batuknya kedengaran, agak teruk. Lekas dia mengesat belakang badan lelaki itu seakan-akan mahu meredakan batuk itu. Tangannya berhenti menggosok, air matanya mula mengalir dan kedengaran sedunya.
“Maafkan abang, Nuria.”
Dia mengesat air matanya dan mengangkat wajahnya. Air mata dikesat namun ianya masih mengalir. Lelaki itu menoleh memandang Nuria yang cuba mengeringkan air matanya. Dia mengamati wajah isterinya, wanita itu masih menangis.
“Abang tidak pernah bermaksud untuk menyakitkan hatimu.”
Nuria memandang suaminya, lelaki itu kelihatan lemah namun matanya menceritakan segalanya.
“Abang tidak pernah membenci, semakin abang cuba menjauhkan diri dari dirimu semakin cinta abang begitu kuat. Ini lebih menyiksakan abang. Semakin abang cuba menjauh semakin dekat. Abang ingatkan dengan buat demikian, abang boleh membunuh cinta itu tetapi ianya silap. Abang silap...”
“Abang, Nuria cintakan abang. Tidak pernah ada paksaan didalam hati ini. Hati ini tidak pernah berubah dan tidak akan berubah. Percayalah.” Lelaki itu memegang wajahnya, dia sedikit kaget kerana sudah begitu lama tidak bersama lelaki itu. Namun, dia hanya membiarkan saja lelaki itu menyentuh wajahnya. Dia masih menangis.
“Abang sayangkan Nuria, terlalu sayang sehinggakan abang tak sanggup untuk Nuria melihat abang sebegini.”
“Abang, jangan macam tu. Nuria isteri abang. Kewajiban seorang isteri adalah terhadap suaminya walau bagaimana susah sekali pun.”
Lelaki itu batuk dan wanita itu dapat melihat betapa sukarnya lelaki itu untuk menelan air liur. Pelahan-lahan tubuh Nuria diraihkan kedalam pelukkannya.
“Kasih dan cinta Nuria pada abang takkan pernah berubah. Itu janji Nuria sejak dulu lagi, sejak kita diijabkabulkan.”
Nuria melihat lelaki itu tersenyum, namun air matanya kelihatan mengalir. Dia mengeluh lagi dan dia terasa pelukan lelaki itu. Dia berdoa agar lelaki itu selamat dan berharap kasih sayang yang tertanam dijiwanya takkan pernah berubah. Kasih, sayang dan cintanya hanya untuk lelaki itu... takkan berubah.
Katil itu dikemaskan, langsir tingkap dibetulkan ke tempatnya. Dia merenung keluar, burung-burung kelihatan terbang bebas. Dia menarik nafas panjang, cuaca pagi amat baik. Dia melihat dirinya di cermin meja solek, selendang putih dibetulkan. Kakinya berhati-hati menuruni tangga, jug air dimeja dicapai bersama kunci kereta. Enjin dihidupkan dan laju menuju ke destinasi.
“Asalamualaikum, abang. Nuria datang,” suaranya diikuti senyuman. Dia bersila dan tangan kanannya menyentuh nisan yang gagah berdiri.
“Nuria rindukan abang...” ujarnya dan mengesat air mata. Surah Yassin dikeluarkan dan dibacanya, kemudian air didalam jug disiram ke kubur tersebut.
“Tinggal ya, bang. Esok, Nuria datang lagi.”
Dia bingkas bangun, sebelum berlalu dia sempat menoleh dan mengeluh. Esok, masih ada masa lagi untuk dia melawat lelaki yang dia cintai walaupun hanya sepasang nisan. Apa yang tahu, cintanya tak pernah berubah.
~TAMAT~