Tuesday, October 1, 2013

SEMALAM YANG BERLALU

1 Bas Plusliner dari Utara ke Kuala Lumpur bergerak tenang diatas lebuhraya. Dia memandang sekeliling kebanyakkan penumpang masih tidur, bas sudah pun melintas Jejantas Sungai Buloh, dia mengeliat sedikit dan memerhati orang sebelahnya seorang gadis berbangsa Cina. Dia mengeluh, sepanjang perjalanan tadi dia tidak boleh tidur seinci pun, walaupun matanya terlalu berat untuk dibuka. Jam menunjukkan pukul dua petang, nampaknya bas ini lewat lima minit. Dia senyum sendirian pasti Hani akan marahnya kerana terlambat. Mujur ada Hani yang sudi membenarkannya tinggal bersama, Hani temannya ketika belajar di ITM. Kalau tidak tentu susah untuk dia mencari rumah sewa, faham sajalah di kota yang besar seperti Kuala Lumpur tentu payah nak mencari rumah sewa. Bas melewati bangunan KTM dan ramai penumpang kelihatan bersedia mahu turun. Dia bersedia menurunkan barang. Dia berharap Hani masih menunggunya di Puduraya. Tangga platform di dakinya di Puduraya orang tidaklah ramai mungkin kerana bukan musim cuti. Dia melihat sekeliling namun tidak nampak wajah temannya itu. Dia risau kalau Hani tidak ada dimana dia nak tidur malam ni? Dia menarik nafas panjang, setiap wajah yang ada di situ diperhatikan. Seorang pun dia tidak kenali. Afira lewati kaunter pertanyaan, jam usang yang tergantung di Puduraya diperhatikan hampir tiga petang. Gelagat-gelagat para penumpang diperhatikan, lagu-lagu irama Bollywood dari gerai menjual VCD kuat kedengaran. Mendengar lagu-lagu Hindi itu membuatnya terkenangkan Hani. Kerisauannya bermula lagi, Hani terlambat atau sengaja tidak mahu mengambilnya. Afira ngomel sendirian. “Hai...” Dia menoleh dan menjerit kesukaan dan memeluk orang itu. Mereka ketawa, Hani membantunya mengangkat bungkusan yang turut dibawa bersama. Hani melihat temannya yang mendahului, dia suka melihat gadis itu sudah bertudung. Ketika mereka berkenalan, Hani agak seksi. “Kau semakin kuruslah Fira.” Suara Hani. “Kau pula makin cantik. Maklumlah kerja bagus.” Mereka menuju ke tingkat atas untuk ke tempat letak kereta. Kedua gadis itu menuju ke salah sebuah kereta. “Tak sangka dalam tempoh 3 tahun kau dah pun ada kereta sedangkan aku baru nak kerja.” “Jangan cakap macam tu. Inikan rezeki masing-masing, Fira.” Hani membalas sebaik saja mereka melabuhkan diri dikerusi empuk itu. Tali pinggang segera disisipkan, kemudian Hani menghidupkan enjin dan meletakkan gear ke huruf R untuk mengundur dan ke huruf D untuk terus memandu. Kereta buatan Malaysia itu bergerak tenang dijalanan. Lagu Selagi Ada... Cinta nyanyian Ning Baizura kedengaran. Afira tidak lepas-lepas memandang keluar. Begitu lama dia tidak ke kota metropolitan itu. Perubahan begitu mendadak sekali, terasa seperti dia ketinggalan zaman. Afira senyum sendiri, terasa dirinya seperti rusa masuk kampung. Lagu-lagu dari corong radio terus berkumandang. Afira menarik nafas dan mengharap keputusannya untuk bekerja di kota ini akan berjalan dengan lancar dan berjaya. Dia tidak mahu menghampakan harapan opah yang terpaksa ditinggalkan di kampung. Minggu lepas bila diberitahu dia sudah mendapat kerja di Kuala Lumpur, wanita itu seakan-akan menolak. Walaupun tidak dilafazkan secara lisan, namun Afira tahu wanita itu tidak membenarkan. Kuala Lumpur merupakan kota besar yang mencabar. Sesiapa lalai pasti tenggelam cuma yang kuat pegangan pasti terus berdiri, itulah kata-kata wanita itu semalam. Afira faham apa yang dia cuba katakan. Mereka melepasi bangunan Mid Valley, dia memerhati penuh rasa kagum. Kemudian, dia menoleh ke arah Hani yang memandu tenang. “Aku tak sangka kau kerja di Putrajaya, Hani. Aku ingatkan kau nak kerja di Johor dekat dengan Sham. Apa khabar boyfriend kau tu?” Hani ketawa kecil. Dia mengeluh, kedengaran suara DJ Subi sedang berceloteh di corong radio. “Aku dah putus dengan dia. Lama dah, dia tak sesuai dengan aku. Lemah dan tiada pendirian. Aku bukan boneka yang diusung ke sana ke mari kemudian dibiar seperti patah haluan. Tujuan aku bercinta nak berkahwin dan ada anak, bukan nak jadi bohsia.” “Iya ke? Aku ingatkan dia lain dari lelaki lain,” tanya Afira. Hani ketawa lagi. “Betul kata orang, don’t jugde a book by its cover. Nampak saja alim tapi alim tahi kucing.” Afira diam membisu, dia memandang ke arah jalan. Terkenang dia pada lelaki bernama Sham, lelaki itu dan Hani rapat ketika di ITM. Kemana saja mereka pasti berdua, macam belangkas. Hani pun selalu juga berharap yang dia dah Sham akan naik ke pelamin. Malahan, Sham juga pernah bercerita padanya yang dia akan melamar Hani selepas tamat belajar. Nampaknya, itu semua cerita semalam. Dia memerhati kenderaan yang lalu lalang, besar dan kecil. Mereka memasuki lebuh raya menuju ke destinasi. “Kau masih dengan Huzir?” suara Hani. Afira memandang temannya.. Dia tak menyangka akan mendengar pertanyaan itu dari temannya, segera digelengkan kepala. “Aku dengan dia kawan biasa je. Dengar cerita mak dia dah pilih pasangan untuk dia. Lupa pula dia ada kirim salam dengan kau.” “Aku ingatkan kau end up dengan dia?” suara Hani, terkejut. Afira membetul duduknya. “Takkanlah. Kau kan tahu keluarga dia berketurunan Syed dan Syarifah. Jadi mak dia naklah juga menantunya bergelar Syed dan Syarifah. Aku ni Syarifah pun tak, Siti pun tak, Tengku pun tak, Raja lagilah tidak. Mustahil mak dia nak pandang pun.” Mereka berdua duduk di sofa. “Manalah tahu bila dia tengok kau yang ayu lagi manis ni terus hilang Syarifah tu semua.” “Untung aku dapat mak mentua kaya...” Mereka berdua ketawa nyaring dan bertepuk tampar. Hani bingkas menuju ke dapur, Afira mengekori gadis itu. “Tapi aku tak dapat bayangkan kalau kahwin dengan Huzir,” suara Afira dan meneguk jus epal pemberian Hani. Mereka kembali ke ruang tamu. Hani mengangkat kening sebagai tanda pertanyaan. “Entahlah. Mungkin sebab aku tak ada feeling pada Huzir agaknya?” “Bukan jodoh korang agaknya. Jom aku tunjukkan bilik kau, Fira.” Afira merenung jauh di laman rumah, diperhatikan langit agak mendung. Bintang tidak kelihatan, dia mengeluh. Dia kenangkan opahnya di kampung. Sebenarnya, dia begitu berat untuk dia meninggalkan kampung halamannya kerana dia tak sanggup meninggalkan opah kesayanganya itu. Dia tak sanggup meninggalkan opahnya yang telah banyak berjasa padanya, yang telah membesarkannya setelah kedua orang tuanya meninggal dunia ketika dia masih bayi lagi. Opahnya yang banyak berkorban dengannya dan hasil penat lelah itu terubat juga setelah dia membawa pulang segulung ijazah. Namun, bagi Afira itu tidak setimpal dengan kesusahan yang wanita itu hadapi deminya. “Betulkah tindakkan aku ni?” bicara hatinya. Dia berfikir dan membuat perkiraan. Dia terkejut mendengar bunyi guruh. Dia merenung ke langit kelihatan cahaya petir berkilauan. Pasti hari nak hujan, bila mungkin bukan sekarang. Afira melangkah ke dalam rumah, Hani sibuk di dapur. Dia menghampiri temannya. “Buat apa tu? Aku dah kenyanglah. Tadi pun aku makan sikit.” “Aku teringin makan bubur jagung,” “Teringin? Ish macam orang mengandung pulak.” “Hey...jangan nak melalut. Aku anak dara lagi tau!” Kedua gadis itu ketawa. Afira mencapai mangkuk untuk mereka menjamah bubur jagung yang dibuat Hani. “Sebenarnya aku lega kau tinggal dengan aku, Fira.” “Kenapa?” “Kau pun tahu aku tinggal sendirian. Sekarang, kau dah ada boleh juga temankan aku. Selain itu, boleh aku menyakat kau?” “Memang hobi kau menyakat aku. Dari zaman ITM sampai hari ni perangai kau memang tak berubah.” Ketawa memecah ruang. 2 Afira melangkah ke dalam bangunan itu dan menuju ke kaunter pertanyaan, sambil itu dia melihat sekeliling. Air liur ditelan berkali-kali, dia berdehem. Dia menghela nafas, hari ni segalannya akan bermula. “Selamat datang ke Lotus Heaven Cooperation, boleh kami bantu, cik?” tanya salah seorang receptionist di kaunter tersebut. Afira sedikit teragak agak untuk menjawab. “Cik Afira Nurulriza?” satu suara menegurnya. Afira menoleh, dia mengangguk. Seorang wanita didalam perkiraanya lewat dua puluhan menghampiri. Wanita itu mengenakan kebaya labuh warna jingga menyerlahkan keayuaannya. “Sila ikut saya,” suara wanita itu dan mendahuluinya. Afira mengangguk dan segera mengekori wanita dihadapannya. Dadanya bagai mahu meletup kerana menahan debaran. Mereka tiba di sebuah ruangan pejabat. Afira dapat merasakan peluh dingin terbit di dahinya. Kesejukkan alat penghawa dingin tidak sedikit pun menyejukkannya. Sesekali terasa ingin pitam. “Silakan duduk. Cik Afira jangan takut, nama saya Sarah. Saya pegawai bahagian HR, sila serahkan segala maklumat mengenai cik dan sila cik isikan borang ini.” Afira mengangguk dan menyerah fail mengenai dirinya. Dicapai borang yang ada dihadapannya. Wanita itu melangkah keluar dari ruang pejabatnya, entah ke mana. Selesai mengisinya, dia memandang sekeliling wanita itu belum lagi muncul. Dia atas meja wanita itu terdapat dua buah buku tahunan syarikat. Dia mengambil buku dan dibelek-beleknya. Dia dapat melihat wajah-wajah semua lembaga pengarah syarikat tersebut dan juga segala pegawai di syarikat tersebut. Dia mengeluh, kebanyakkannya semua separuh umur kalau ada yang muda dahpun berkahwin. Dia tersenyum dan meletak kembali buku itu, wanita itu muncul dan menyerahkan fail itu kembali kepadanya. “Hmm... cik Afira sila tandatangan kontrak ni.” Afira melihat kontrak itu dan tanpa ragu dia menandatanganinya. Sarah mengambil kontrak dan borang itu dan tersenyum, dia menghulur tangan kearah gadis itu. “Welcome to Lotus Heaven Cooperation, cik Afira.” Mereka bersalaman. “Okay, mari saya tunjukkan tempat cik. Cik tahu kan cik bertugas sebagai pembantu peribadi Pengarah Urusan.” Afira mengangguk dan dia terkenangkan gambar pengarah urusan yang dilihat sebentar tadi. Dia mengeluh lemah dan mengekori Sarah menuju ke arah lif. Sarah menekan butang nombor lapan untuk ke tingkat tersebut. Mereka tiba di tempat berkenaan, sebelum itu Afira diperkenalkan kepada semua pekerja yang ada di situ. “Cik Afira ini tempat cik dan mulai saat ini cik dipertanggungjawab untuk membantu pengarah urusan kita dalam apa jua hal, kerja ataupun peribadi.” “Terima kasih cik Sarah. Saya akan lakukan sedaya saya.” Sarah baru sahaja mahu melangkah sebelum dia berpaling. “Saya lupa nak beritahu, Pengarah kita cuti dua hari. Tapi dia tahu cik Afira akan bertugas hari ini.” Dia melangkah keluar dari perut teksi, sebelum membuka pintu pagar Afira menarik nafas panjang. Dia melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Hani yang baru sahaja selesai solat Asar muncul di ruang tamu. Dilihat Afira sudah pun berlingkar di atas sofa, dia menghampiri dan mencuit pinggang gadis itu. Afira menempis tangan Hani dan merenggek manja. Sekali lagi Hani mencuit pinggang temannya. “Janganlah, aku letih ni. Nak buka mata pun tak larat...” Hani ketawa kecil dan mencuit lagi pinggang Afira dan gadis itu menjerit kecil. “Banyak sangat kerja ke? Sampai teruk macam ni?” “Hmm...tak lalu aku. Agh!!! Sakitnya badan...Sakit bahu...” Afira mengeliat, Hani mencebik bibirnya dan menanggalkan telekung. “Hani...tolong picit aku kejap..!” Hani merengus dan memicit bahu temannya. Afira mengeluh lega dipicit sebegitu. “Dahlah...Penat aku memicit kau!” “Alah...best kau picit aku. Alah...tolonglah,” Afira merengek, Hani ketawa kecil. Afira mengeliat kecil di sofa dan melelapkan matanya. Hani berhenti memicit dan dia mencebik bibir kemudian berlalu. Afira merengek lagi kemudian dicapainya alat kawalan jauh untuk memasang televisyen 29” milik Hani. Siri Pearl Screen ke udara. “Oi...pergi mandi. Solat Asar, jangan nak berlingkar depan TV tu! Bangun..!” laung Hani dari dalam biliknya. Afira merengek lagi, mengeliat dan menutup televisyen itu. Kemudian segera melangkah ke biliknya. Selesai makan malam, mereka bersama membersih ruang dapur. Kedua gadis itu berlalu ke ruang tamu. Hani ke dapur semula untuk membancuh minuman. Afira menukar siaran TV2. Hani muncul dengan dua mug Milo panas, Afira mengeliat kecil rasa letih siang tadi masih berbaki. “So, macamana rupa bos kau? Handsome ke? Dia baik tak?” tanya Hani. Afira mengeluh, mengurut tengkuknya. “Bos aku cuti dua hari. Tadi aku tengok yearbook erh! bos aku...tua!” Hani mencebikkan bibir dan tersenyum kecil. “Apa gelak-gelak...orang serius tau!” “Takkan kot. Mana tahu kot-kot gambar lama ke?” Afira menjungkitkan bahu dan meneguk air dari mugnya. “Ish...macam kau kenal bos aku aja?” Hani kelihatan terkedu dengan kenyataan Afira, dia telan air liur. “Tak adalah...Aku takut, kau tiba-tiba terkejut tengok muka dia yang handsome.” “Aku berani kerat jari Hani. Sah tua, siap gatal-gatal lagi. Agh!!!Tidak!” ujar Afira dan menggelengkan kepala. Hani ketawa bersungguh-sungguh, Afira kerutkan dahi kemudian turut ketawa dengan gelagat temannya. Dua hari berlalu tanpa sedar, bagi Afira dua hari itu adalah sesuatu yang tidak sempat untuk dia kejar dan terpaksa dilepaskan mengikut kehendak dan putaran alam. Segala yang perlu dia bawa sudah disediakan di suatu tempat. Langit masih lagi agak gelap, dia perlu segera bersiap. Hari ni hari pertama dia akan bertemu dengan lelaki bergelar bos. Kalau boleh dia mahu lelaki itu tidak bersangka buruk terhadapnya, jika tidak kerja-kerjanya tidak akan jadi lancar. Sejak dari semalam dia tak keruan sudah beberapa kali dia memujuk hati supaya bertenang. Sejak dia berpindah ke kota itu, dia mudah panik. Dia sendiri tidak tahu bagaimana penyakit itu boleh hinggap? Sudah dua kali dia menukar bajunya dan akhirnya baju kurung kasa Rubiah disarung ke badan. Dia menyediakan sarapan untuk Hani, teko kopi diletakkan diatas meja. “Hani, cepat sarapan!” laung Afira dari dapur. Hani muncul dia membetulkan kedudukan tudungnya, dia memakai serba kelabu hari itu. Afira menuangkan kopi ke dalam mug. Dihulurkan mentega kacang kepada temannya. “So, dah bersedia untuk jumpa bos kau?” “Jangan kau nak menakutkan aku yang sedang gelabah nih!” “Apa kau nak takut, kalau dia handsome kau tackle aja dia. Kalau dia tua kau goda jugalah.” “Kau jangan nak mengarut. Tak nak aku...” Hani ketawa dan mengunyah rotinya. Afira melihat jam dinding dan dia terlambat. Debaran untuk bertemu dengan bosnya, masih lagi terasa. Dia takut seandainya lelaki itu merasakan yang dia tidak sesuai untuk berkerja di situ. Teksi sewaannya sudah berada di depan rumah, dia bergegas keluar. Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya segera, Afira berlalu ke mejanya. Dia pasti bosnya belum tiba. Ditekan suis PC untuk membuat kerja, jadual hari ini disusun untuk bos dan dirinya. Dia menaip kerjanya dengan penuh khusyuk. Tiba-tiba alat interkomnya berbunyi, Afira tersentak. Dia kehairanan, kalau bosnya tiada di dalam bilik bagaimana alat interkomnya berbunyi. Jantungnya berdegup kencang, dia menghela nafas dan segera menjawab interkom tersebut. “Ya...” jawabnya sedikit cuak “Hmm...masuk ke bilik saya sekarang juga..!” “Okay,” suaranya sedikit gementar. Dahi dikerutkan lagi, bermakna bosnya memang ada di dalam bilik. Afira gigit bibirnya dan menghembus nafas. Suara tadi kedengaran seperti orang muda walaupun sedikit garau. Namun, tidak boleh buat andaian dengan hanya mendengar suara sahaja. Afira segera berlalu ke bilik bosnya. Afira pasti bosnya seorang lelaki tua, berambut putih bermisai atau berjambang yang sama putih dengan rambutnya. Tentu sekali berperut boroi dan ditambah dengan renungan miang. Dia mengeluh dan tangannya mengigil ketika mengetuk pintu bilik. Di balik pintu ada suara menyuruhnya masuk, ini menambahkan lagi gementarnya. Jantungnya berdegup kencang seakan-akan ingin luruh ke bumi. Sebelum melangkah masuk dia membaca segala jenis doa yang dia ketahui. Dia sudahpun berdiri di balik pintu, dia dapat lihat seorang lelaki berdiri membelakanginya dengan kedua belah tangan dimasuk ke dalam poket seluar. Afira tidak dapat menggagak rupa lelaki itu ditambah dengan pantulan cahaya yang menyebabkan lelaki itu seperti tenggelam di dalam cahaya. Apa yang dia pasti lelaki itu bertubuh besar, mungkin sering bersukan. Tinggi orangnya kemungkinan lingkungan 5 kaki 10 inci. Afira memandang sekeliling, panik juga dia. Kenapa bosnya tidak memberi arahan lagi? “Duduklah kenapa berdiri? Kerusi bilik nih belum nak patah lagi,” Dia masih membelakanginya, Afira duduk dan masih membisu, dia tidak selesa. Alat hawa dingin terasa begitu panas ketika itu. Lelaki itu menoleh dan wajahnya jelas kelihatan, Afira terkejut dan pad notanya jatuh ke lantai segera dia ambil dan dia terhantuk dengan bucu meja itu. Dia menjerit kecil dan memandang wajah lelaki itu, wajahnya merah kerana malu. “Awak okay, cik Afira? Jangan risau saya tak makan orang.” Laju sahaja anggukkannya. Mata Afira tak berkelip memandang lelaki itu. “Kenapa pandang saya macam itu. Muka saya teruk ke?” “Tak...tak...cuma saya tak sangka bos saya muda.” Afira terus menutup mulutnya, merengus kerana tersilap cakap. Lelaki itu ketawa kecil dan berdehem, kemudian duduk dihadapannya. Afira masih dapat merasakan wajahnya panas. Lelaki itu senyum. “Semua orang kata macam tu pada saya. Nama saya Mohd Aidil, awak boleh bahasakan saya Encik Aidil. Okay awak boleh sambung kerja sekarang.” Laju saja anggukkan Afira, dia kini sedikit tenang. Dia bersedia untuk bangun. “Cik Afira, saya rasa baik awak sapu ubat. Dahi tu dah sedikit bengkak,” Afira memberi senyum kelat kepada lelaki itu. Dia kini sudahpun keluar dari bilik itu, dia merengus kecil. Kenapa dia boleh jadi sepanik itu, kerongkongnya yang tiba-tiba boleh ketat sebegitu. Dia gelengkan kepala dan memegang dahinya memang sakit dirasakan. Dia tersenyum tak sangka bosnya begitu muda, kemungkinan tua beberapa tahun darinya. Dia tersenyum, handsome juga. Dia tersentap dan memandang jarinya dan salah satu jari dibengkokkan. Takkan Hani nak potong jari aku ni? Hmm... tapi apa pun bos dia memang kacak, dengan kulitnya yang putih kemerahan dan kaca mata yang menambah penampilannya. Dia merengus dan menyambung kerjanya sambil memegang dahinya, pedih. “Focus... focus, Fira!!!” dia memberi arahan pada dirinya. Namun, dia masih lagi tersenyum. Hani ketawa sepuasnya setelah mendengar cerita Afira, Afira mencubit peha temannya. Namun, gadis itu tetap tak berhenti ketawa. Afira memuncungkan bibirnya. “Hey, buruk kau muncung macam tu! Boleh sangkut baju.” Hani ketawa lagi. Afira masih muncung, berkali kali tangannya menepuk peha temannya. Afira mengecilkan matanya tanda dia marah dengan temannya yang masih lagi tak henti-henti ketawa. “Apa yang lucu sangat sampai kau ketawa macam ni? Cerita ni seriuslah.” “Taklah, aku hairan. Kenapa kau boleh boleh panik macam tu?” Afira garu kepalanya dan menjungkitkan bahunya. Dia merengus. Anak rambutnya di selit ke telinga. Sebenarnya, dia pun tak tahu macamana nak terangkan kejadian yang dihadapi pagi tadi. Tetapi, dia pun sebenarnya pun hairan kenapa dia boleh panik. Bukan dia jumpa raksaksa, cuma jumpa bos saja. Manusia macam dia juga. Hani ketawa lagi. “Entah?” “Setahu aku kau ni bukanlah seorang yang mudah panik. Handsome sangat ke?” Afira gigit bibir kemudian mencebikkan bibirnya. Susah untuk dia menjawab, kalau bagi dirinya Encik Mohd Aidil memang kacak dan budi bahasa. Dahinya dipegang, dia mengeluh. Hani dapat melihat temannya sedang berfikir sesuatu. Dia cuba membaca pada raut wajah manis itu. “Aku rasanya kau dah terpikat pada dia, betul tak?” suara Hani setelah dapat menangkap maksud dibalik raut wajah gadis itu. Afira mencebik dan mengerutkan dahi. “Kalau kata aku terpikat tu, mungkin? Tapi...aku ni staff dia aja, takkan dia pilih aku.” “Apa salahnya?” Afira membisu, direnungnya Hani seakan-akan berfikir. Afira terbayang, lelaki bernama Mohd Aidil. Lelaki itu menghampirinya dengan sejambak bunga dan mengucapkan kata-kata indah. Dia tersentak dan merenung Hani yang tersengih melihat perilakunya. Segera dia bingkas bangun dari sofa itu. “Why are we having this conversation? Dahlah malas aku nak layan kau, Hani. Aku nak tidur awal, esok kerja. Good night!” “Selamat bermimpi indah, okay?” 3 Dia sedikit awal hari ini, Afira menghela nafas sebelum melangkah masuk ke dalam bilik Mohd. Aidil. Nampaknya, lelaki itu belum tiba ke pejabat. Dia memandang sekeliling, susunan bilik itu biasa dan tidak terlalu banyak barang. Afira mengemaskan meja lelaki itu, dia meletakkan buku yang berselerak kembali ke tempat asal, di suatu sudut ada barisan bingkai gambar tersusun. Kebanyakkan adalah gambar lelaki itu bersama keluarganya atau gambar dia bersendirian. Dia memerhati lagi gambar itu dan satu antara gambar itu menimbulkan cemburunya. Aidil dengan seorang wanita, wanita itu cukup jelita. Memang sepadan wanita dengan lelaki itu, Afira memerhati gambar itu lagi. Dia merengus. Pintu bilik dikuak luas, lelaki itu melangkah kemas. Afira berlalu, dia malu seketika. “Fira, jangan lupa tempahan makan tengahari saya hari ini?” Pertama kali lelaki itu menyebut nama pendeknya dan tanpa perkataan cik dihadapannya. Terasa panas wajahnya. “Picolo Mondo untuk 4 orang, tengahari ini pukul 1 petang, Encik.” Mohd Aidil mengangguk tanda puas hati. “Encik, petang ni jadual encik free.” Lelaki itu cuma mengangguk dan tangannya membuka fail-fail yang berada di hadapannya. Afira berlalu dengan senyuman, dia lega lelaki itu puas hati. Baru saja dia mahu memulakan kerja, interkom berbunyi. Apa lagi yang diperlukan bos muda ini. Dia mengeluh dan segera menjawap, bosnya mahu dia masuk berjumpa dengannya. “Ya, Encik?” Afira mengerut dahi bila lelaki itu menghulurkan bungkusan berbalut kertas hadiah. Dia serba salah, direnung wajah lelaki itu tanpa berkelip. Kakinya ingin melangkah namun dia tidak dapat mengerakkannya. Digigit bibirnya dan masih merenung lelaki itu. “Kenapa muka awak pucat, ambillah. Sebenarnya ini hadiah dari ayah dan umi saya mereka selalu hadiahkan pada semua kakitangan disini kalau balik dari percutian. Nah!” “Betul ke?” “Awak ni cepat paniklah, Fira. Ambik ni, saya ikhlas.” Afira segera mengambilnya dan terus minta diri untuk keluar, dia dapat rasakan mukanya panas. Kenapalah dia suka buat spekulasi sendiri. Mujur lelaki itu tak perasaan kalau tak dia juga yang malu. Afira geleng kepala kerana kebodohan sendiri. Dia melihat hadiah yang siap berbungkus itu, apa agaknya isi di dalam bungkusan itu. Pintu bilik lelaki itu diperhatikan, dia berdecit dan menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Afira termenung di buaian. Dia terkenangkan apa yang telah berlaku sepanjang dia berkerja di syarikat itu, hairan kenapa dia boleh begini. Selama ini, dia tidak mudah gelabah atau panik berhadapan dengan insan bergelar lelaki walau sekacak mana pun orang itu. Dia juga boleh tahan dengan godaan mana-mana lelaki. Tetapi kenapa dengan lelaki itu, dia jadi begini. Dia begitu mudah panik dan mengelabah, hendak dikatakan lelaki itu bermain mata rasanya tidak. Terdengar bunyi deheman, Afira menoleh. Hani muncul dan menghampirinya, temannya berdiri di sebelah buaian besi itu. Ditangannya ada semug air. “Kenapa termenung ni?” “Aku rindu dengan opah aku di kampung,” dia memberi alasan, sengaja. Jika dia memberitahu hal tadi, pasti panjang ceritanya. Lagipun, dia memang rindu opahnya dikampung. Hani duduk di kerusi batu yang memang sedia ada di situ, Afira membuai buaian itu pelahan. Kedengaran berkeriut bunyi buaian besi itu apabila ladun besi bergerak mengikut buaian gadis itu. “So, ambiklah cuti. Baliklah kampung.” “Kau harus faham, Hani. Aku baru dua minggu kerja, takkan dah nak minta cuti. Apa kata bos aku nanti.” “Kau bukannya hamba sahaya dia sampai tak boleh minta cuti.” “Ermm...nantilah. Banyak masa. Esok kau ambil aku di office, aku nak kirim duit ke kampung.” Hani garu kepala, dia membisu. Kelihatan Hani seperti berfikir sesuatu. “Aku rasa tak dapat ambil kau. Aku ada kerja di Seremban, sorry. Tapi, kau boleh suruh office boy kau buat, Fira. Apa nak susahkan diri?” “Aku lebih suka buat sendiri bukan sebab aku tak percaya office boy tu!” Hani ketawa kecil dan menyanggulkan rambutnya. “Suka hati kaulah, Fira. Hmm...aku masuk dulu. Jangan duduk lama kat luar ni, okay.” Afira tidak menjawab, dia melihat Hani berlalu ke dalam rumah. Buaian di buai lagi dia mendongak memandang ke langit. Afira merengus. Dua minggu... dia sudah meninggalkan opahnya dua minggu. Dia merenung ke langit lagi dan berdoa agar wanita itu sentiasa di dalam keadaan sihat. Dia berkira-kira difikirannya, seandainya nanti dia sudah stabil di dalam pekerjaannya dia mahu membina sebuah rumah dan dia akan meminta wanita itu tinggal bersamanya. Dia hanya mahu wanita itu berehat, biar saja dia yang bekerja. Lagipun, dalam usia sebegitu tak perlulah opahnya bekerja lagi. Dia pun sudah dewasa dan bisa membantu tambahan kini, dia sudah bekerja. Itulah yang bermain difikirannya kini. Afira melangkah masuk ke dalam biliknya dan mencapai beberapa fail yang dibawa pulang untuk dibuat rujukkan.