Tuesday, April 14, 2009

Pulang ke Kampung

Setelah 13 tahun tak balik ke kampung, akhirnya raya tahun ini aku kembali ke kampung halaman papa. Aku sendiri tak pasti perasaan aku tika melangkah kaki ke halaman itu. Sebaik saja, kaki aku mencecah ke tanah serta merta aku mata ini bagai terbayang semua kenangan yang telah aku lalui disitu. Aku sebak, iyalah setelah sekian lama akhirnya aku kembali ke situ. Tetapi sayang, tiada siapa di situ lagi cuma rumah kosong. Aku pandang papa, wajahnya sayu… Aku tahu dia sedih, iyalah kembali ke rumah itu setelah sekian lama. Aku faham kerana tika itu aku sendiri pun sebak menahan sedih di dada. Papa buka kunci pintu rumah itu. Aku menarik nafas panjang sebelum melangkah ke dalam rumah itu. Entah kenapa, sebaik saja aku melangkah masuk aku bagaikan terasa rumah itu seperti kembali ke waktu aku tika kecil. 
Seperti aku berada disitu ketika Opah masih hidup dan sepupu yang lain berkumpul disitu bermain riang dan bergelak ketawa. Aku menahan air mata. Papaku lihat menuju ke arah bilik Opah. Aku menjelajahi setiap ruang dan aku naik ke tingkat atas. Walaupun sudah sekian lama aku tak ke mari namun semua kenangan manis ada di sini. Opah seorang wanita yang baik dan penyayang kerana akulah satu-satu cucunya. Aku dimanjakan sekiranya ke mari. Aku bagai terngiang-ngiang suara Opah memanggil aku untuk makan atau tidur. Ruang tamu di tingkat atas masih sama. Aku menuju ke suatu sudut di ruangan itu, disitu aku dapat lihat gambar-gambar lama yang masih tergantung ditempat asal. Sedikit kabur kerana dipenuhi habuk. Aku capai tisu didalam tas tangan dan ku lap disetiap bingkai gambar. Aku mengeluh bila melihat gambar-gambar itu. Gambar yang menunjukkan gambar keluarga papa, gambar Opah dan Atuk serta gambar papa tika kecil. Tanpa sedar air mataku jatuh. Dulu tika aku kecil, tak pernah aku terasa begini tika melihat gambar itu. Mungkin kerana aku dah dewasa dan sudah begitu lama tak ke mari. Aku masuk ke dalam sebuah bilik, dulunya bilik itu sentiasa aku guna jika ke mari. Kesemua barang-barang masih disitu, masih berada ditempatnya tidak berusik. 
Kalau Opah masih hidup tentu seronok, mungkin aku dapat bermanja dengan wanita itu lagi. Tetapi, apakan daya setiap yang hidup akan pergi apa yang tinggal cumalah kenangannya saja. Namun, aku gembira aku dapat merasai pelbagai memori manis di sini. Aku tak pasti bila lagi aku akan ke mari. Di dalam kereta aku tengok wajah papa sedih namun dia juga kelihatan gembira. Aku faham perasaannya, sedih kerana tak jumpa Opah tapi gembira kerana semasa hidup Opah, papa merupakan anak yang baik dan taat pada ibunya. Aku pun mahu seperti papa, insyallah…

No comments: