Sunday, March 7, 2010

Semalam di Batu Pahat

Dia melangkah, sebuah kereta Kancil hitam menanti. Lelaki itu keluar, dia sudah menukar pakaiannya.   

                                    “AG, kau nak hantar dia terus ke balik Perak?”

                                    “Tengoklah, rasanya tiket masih ada. Jom!” suara lelaki itu.

Dia melangkah dan memasuki perut kereta.

                                    “Kereta awak?” tanyanya sebaik saja melepasi pintu besar maktab tersebut.

                                    “Taklah, kereta kawan. Dia tak balik lagi, tapi dia benarkan saya pinjam. Jangan risau.”

Dia membisu, matanya diarahkan ke jalan. Sesekali dia melihat sekelilingnya, disuatu sudut terlihat bangunan yang hampir siap.

                                    “Kalau tak salah nak buat pusat membeli belah.” Suara lelaki itu tanpa ditanya. Dia telan air liur kemudian mengangguk. Jalanan di Batu Pahat sedikit sesak dengan kenderaan. Lelaki itu cekap memandu kereta kecil itu.

                                    “Kita dah tiba, marilah. Harapnya adalah tiket awak ke Perak.”

Dia membuntuti lelaki itu. Dia lega kerana tidak menghadapi masalah, lelaki itu memang boleh diharap. Mereka menuju ke kaunter menjual tiket.

                                    “Tumpang tanya? Tiket ke Ipoh ada lagi?”

                                    “Ada, tapi malam pukul 10 malam ini.”

Lelaki itu menegakkan badannya dan berpaling ke arahnya. Dia pun tidak pasti dengan keputusan itu. Pukul sepuluh malam, lewat sekali, kalau dihitung kira pasti jam lima pagi dia sudah tercangak di Medan Gopeng dan menanti beberapa jam sebelum dia boleh pulang ke Bidor.

                                    “Macamana?”

                                    “Saya tak ada pilihan, terpaksalah.”

Lelaki itu membongkok lagi dan memesan tiket untuknya. Dia mengeluarkan wang namun lelaki itu menolak.

                                    “Nah! Simpan, nanti hilang. Marilah.”

                                    “Tak apalah, saya tunggu disini.”

Lelaki itu kelihatan terkejut, ketawa kecil.

                                    “Awak ketawakan saya?” tanyanya dan mengecilkan matanya tanda marah.

                                    “Maaf, awak tahu tak sekarang ni baru jam dua belas pagi. Awak ada sepuluh jam sebelum bas awak tiba.”

                                    “Tak mengapa, saya tunggu di sini.”

                                    “Marilah, lagipun saya tahu awak belum makan lagi.”

Sekali lagi dia hanya mengekori lelaki itu, entah kenapa dia senang sekali dengan kehadiran lelaki itu. Lelaki itu memandu kereta kecil itu dan beberapa minit mereka tiba dihadapan sebuah bangunan. The Summit, itulah yang tertulis di situ.

                                    “Marilah kita makan dulu atau awak ada cadangan lain?”

                                    “Ikut awaklah, saya tak pernah datang ke Johor.”

Lelaki itu menukar gear dan berlalu, mereka keluar dari bangunan itu. Dia sedikit terkejut dengan tindakan lelaki itu, ke mana agaknya lelaki itu mahu membawanya.

                                    “Alang-alang dah ke Batu Pahat. Apa kata kalau saya bawa awak berjalan-jalan.”

                                    “Awak serius?”

Dia nampak lelaki itu tersenyum dan terus memandu. Dia hanya membiarkan saja lelaki itu membuat keputusan. Dia mengikut cuma, kerana disudut hatinya dia percayakan lelaki itu. Dia hanya melihat dari luar tingkap kereta buatan Malaysia itu semua tempat yang ditunjukkan oleh lelaki itu. Dari satu tempat ke satu tempat ditunjukkan sehingga mereka sudah melepasi sempadan Johor. Mereka sudah di bandar Melaka, bandar yang penuh dengan sejarah.

                                    “Saya dah menyusahkan awak, kenapa awak buat macam ni?” tanyanya.

                                    “Saya tahu bagaimana perasaan bila tiada sesiapa yang kita kenal di tanah asing.”

Dia membisu. Makanan dihadapan dijamah, dia memandang lelaki itu. Entah kenapa, sikap lelaki itu membuat dia tertarik.

                                    “Apa tujuan awak ke Batu Pahat. Maaf tapi saya terpaksa tanya?”

                                    “Saya sepatutnya berjumpa dengan kawan seuniversiti, tetapi dia  sudah ke Singapura. Dia kata ada kerja kosong untuk saya, tetapi nampaknya tak menjadi.”

                                    “Belum ada rezeki. Saya harap awak tak penat?”

                                    “Taklah, kalau awak tak bawa saya belum tentu saya akan ke mari. Melaka diwaktu malam, cantik. Terima kasih pada awak.”

Lelaki itu melihat jam.

                                    “Kita balik Batu Pahat sekarang, sudah jam lapan malam. Nanti tak sempat pula awak naik bas.”

Dia mengangguk.

 

                        Lelaki itu menghantarnya sehingga ke pintu bas. Mereka berpandangan, gadis itu cuba untuk bersuara tetapi tidak tahu apa yang ingin dikatakan.

                                    “Selamat jalan,” suara lelaki itu memecah kesunyian.

                                    “Terima kasih, saya dah menyusahkan awak.”

Lelaki itu gelengkan kepala.

                                    “Saya gembira kita berjumpa. Saya harap kita akan berjumpa lagi. Saya...”

Kata-kata lelaki itu tidak sempat dihabiskan bila pemandu bas sudah mula menghidupkan enjin. Gadis itu mula melangkah naik.

                                    “Hey, ini untuk awak?”

                                    “Oh! Terima kasih.” Gadis itu sudah pun melangkah masuk. Pintu bas ditutup. Matanya hanya melihat bas berwarna hijau itu berlalu pergi. Dia mengeluh, lelaki itu teringat sesuatu. Walaupun sudah seharian dengan gadis itu tetapi sampai kini dia tidak tahu nama gadis itu. Dia ketawa kecil, kejadian pelik. Dia berlalu pergi.

No comments: