Thursday, April 21, 2011

No Title...

Azrul membuka pintu rumahnya, sunyi. Kemana agaknya wanita itu pergi? Dia menyeluk poketnya mencapai telefon bimbit, Azrul merengus bateri habis. Azrul membiarkan telefonnya dan berlalu ke tingkat atas. Seluruh rumah telah kemas, dia tahu isterinya takkan keluar rumah tanpa mengemaskannya. Memang dia beruntung kerna itu. Jam sudah 4 petang, perutnya lapar. Namun, dia mahu mandi sebelum menjamah makanan. Azrul memerhati jam, sudah jam 5 wanita itu tak muncul. Azrul menuju ke dapur, ada lauk yang dihidangkan di dapur. Selesai, menjamah makanan dia ke ruang tamu. Jam diperhati lagi, hairan kerana wanita itu masih tak muncul. biarlah, kalau ada dirumah bukan pun dia akan memandang.


Nik muncul di depan pintu, mereka menuju ke ruang tamu. Beberapa minit episode bisu bertandang sehingga Nik bersuara.
“Apa yang penting sangat sampai kau call aku banyak kali?”
Azrul masih membisu, dia tunduk. Tangannya menggaru dagunya yang mula ditumbuhi janggut. Nik membetulkan duduknya, matanya memandang temannya yang masih membisu barangkali mahu menyusun ayat yang sesuai untuk bersuara padanya.
“Imelda...”
Nik mengerut dahi. Azrul berdecit dan merengus.
“Dia dah hilang, sudah dua bulan!”
“Hah? Dua bulan!”
Azrul menggaru kepalanya dan mengangguk. Nik turut menggaru kepalanya.
“Kau dah jumpa parent dia? Ibu kau?” tanya Nik.
“Apa aku nak tanya pada mereka?”
Nik berfikir dan mencapai telefon bimbit temannya.
“Assalamualaikum. Nik ni makcik. Tak ada, saja telefon. Saya kat rumah Azrul ni... Sihat! Hmmm... Imelda pun sihat. Tak ada... nantilah, sibuk sikit itu sebab tak ke rumah. Imelda kirim salam... dia tengah goreng keropok kat dapur. Ha’ah, insyallah... Iyalah... Walaikumusalam..”
Azrul memandang temannya sedikit keliru.
“Pastinya, Imelda tak ada dirumah ibu kau.”
Azrul berdecit, dia bingkas bangun. Nik turut bangun dan mengekori temannya, mereka ke dapur. Nik menghulurkan telefon bimbit kepada temannya agar dia boleh menelefon keluarga mertuanya. Namun, hampa jawapan yang diterima isterinya tidak ke sana sejak 2 bulan lepas.
“Apa sebenar berlaku sehingga Imelda menghilangkan diri?” tanya Nik. Azrul berfikir kemudian memandang wajah temannya.
“Tak tahu, aku tak tahu... Sumpah!” suara lelaki itu dan memicit dahinya. Dia duduk di meja makan, Nik menepuk bahu temannya lembut.


Saat berganti minit, minit berganti jam, begitu juga hari berganti minggu. Pencarian Imelda berakhir buntu. Nik dapat lihat Azrul berubah sama sekali. Lelaki itu bukan lagi Azrul yang dulu. Azrul kini bukan Azrul yang biasa memijak kaki ke disko, kini dia rajin ke masjid... sejadah bukan lagi simpanan digobok. Tasbih senantiasa singgah ditangannya.
“Aku gembira kau datang ke rumah aku, Nik. Aku buntu mencari Imelda. Dia marahkan akukah sehingga menghilangkan diri?”
“Dia wanita yang baik dan soleh, mana mungkin dia pergi begitu saja. Aku dah beritahu kawan-kawan kita dan saudara mara aku agar mencari Imelda. Aku pun sudah siarkan berita kehilangan Imelda di akhbar dan Buletin Utama. Sehingga kita tak jumpa dia, aku tinggal dengan kau. Okey?” suara lelaki itu. Azrul mengangguk.
“Ibu mertua aku marahkan aku tadi... dia kata aku tak jaga anak dia dan akulah penyebab Imelda hilangkan diri.”
Nik gelengkan kepala.
“Kau berserahlah padaNya. Doalah... mintalah pada ALLAH. Dia Maha mendengar, insyallah...”
Azrul bersandar di sofa, songkok ditanggal dari kepala dan diletak dimeja. Dahi dipicitnya, mindanya penat memikirkan apa yang berlaku. Kenapa Imelda melarikan diri? Adakah sesuatu yang berlaku atau wanita itu mula membencinya. Matanya disorot ke arah jam. Mungkin betul, wanita itu pergi kerana dirinya. Dia kini dah berubah, demi Tuhan dia dah berubah. Seandainya benar wanita itu meninggalkannya kerana sikapnya dulu, kini dia bukan lagi yang dulu. Semoga perubahan yang berlaku terhadapnya kini bisa mengembalikan wanita itu, isterinya. Azrul mengeluh. Telefon diruang depan berdering, Nik mengangkatnya.
“Azrul, kita ke HUKM sekarang juga?”
Azrul terkejut dia memandang temannya, siapa yang sakit. Jam di dinding menunjukkan jam 9 malam. Tanpa banyak bicara, Azrul menyalin pakaian dan mereka menuju ke kereta milik Nik untuk ke destinasi.
Wad ICU di hadapan mereka, Nik bertemu dengan salah seorang jururawat di situ dan wanita itu menuju ke suatu arah. Azrul memandang sekeliling, siapa agaknya yang akan dia bertemu di sini. Nik nampak cemas.
“Doktor Ismail?” tegur Nik bila mereka bertemu dengan seorang lelaki berjubah putih. Lelaki itu mengangguk dan mereka berdua bersalam dengannya. Lelaki itu terus membawa mereka ke satu wad. Azrul terkejut melihat tubuh yang terbaring di katil, tiup oksigen dihidungnya serta tiup glukosa di kanannya. Azrul memandang Nik dan Doktor Ismail.
“Imelda?” suaranya separuh berbisik.
“Selepas berita mengenai kehilangannya disiar di Buletin Utama semalam, pihak kami terus menghubungi encik. Sebenarnya beliau menjadi mangsa ragut dan mungkin kerana bergelut dengan peragut, beliau cedera dan kepalanya dihentak dan terhentak.”
“Hentak dan terhentak?” suara Azrul tidak faham.
Doktor Ismail menarik nafas, dia mendekati Imelda dan memeriksa nadi dan matanya.

No comments: