Sunday, March 29, 2009

Red Blood Moon

Part 2

Dia sudah selesai membersihkan diri. Dia menyarungkan gaun malamnya, dia mengeliat. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah tingkap kaca, cermin tingkap itu dibuka. Bayu malam meniup lembut hujung rambutnya beralun. Bulan kelihatan terang di langit tinggi. Dari arah tingkap dia dapat lihat tangga utara. Matanya terpaku ke arah itu, tertanya kenapa tangga utara adalah dilarang untuknya. Kenapa Putera Yossio berada di sana? Dia mengeluh, cuaca sejuk sekali. Dia menguap kecil dan berlalu ke katilnya. Luna membaringkan diri. Suara bayu malam bagai mendodoinya.
Entah kenapa dia terjaga, kedengaran bunyi lagaan besi. Dia bingkas bangun dari katil dan menuju ke tingkap. Bunyi itu kuat kedengaran, dia pasti itu bunyi lagaan besi. Tetapi, apa yang membuat bunyi itu. Luna keluar dari biliknya dan menuju ke arah tangga. Pantas dia berlari turun meniti tangga. Dia kini di lobi, namun kerana masih baru dia tidak tahu arah tuju. Pantas dia berlari, akhirnya kakinya tiba di pintu besar. Luna menolak pintu kayu itu dan ianya menuju ke arah taman. Bunyi lagaan besi kedengaran, dia juga dapat melihat dua tubuh berada di taman. Dia mengecilkan matanya untuk memastikan dia tidak bermimpi. Dua tubuh sedang bertarung dengan menggunakan pedang. Luna menggarukan kepala, dia bermimpikah? Mereka beradu tenaga dengan menggunakan pedang? Luna melangkah untuk mendekati bagi mengetahui siapakah kedua mereka? Luna menjerit kecil bila ada tangan menyentuh bahunya, dia menoleh.
“Pengetua?”
Lelaki itu mengangguk, di sisi lelaki itu ialah Puteri Susannah. Gadis itu kelihatan risau, barangkali risau dengan pertarungan itu.
“Pengetua perlu buat sesuatu.”
“Tuan puteri, mereka tidak akan berhenti. Kita cuma perlu menunggu. Mari...”
“Pengetua, siapa mereka?” tanya Luna.
Lelaki itu tersenyum dan mengajaknya masuk kembali ke dalam bangunan itu.
“Pengetua kenapa mereka bertarung. Kenapa?”
Lelaki itu memandang gadis itu...
“Luna, masih terlalu baru untuk kamu mengetahuinya... sabar. Tuan Puteri, lebih baik tuan puteri kembali ke asrama Monsoon.”

Luna cuma mengekori Puteri Susannah, gadis itu melangkah perlahan penuh tertib. Dia kagum melihat gadis di hadapannya.
“Jangan hampiri Yossio...” suara gadis itu tiba-tiba.
Luna terkejut sedikit.
“Dia akan bawa masalah kepada kamu. Walaupun dia manusia seperti kamu, dia pembawa masalah.”
Luna tidak mengerti, namun dipendamkan pertanyaannya. Dia hanya melihat gadis itu mendahuluinya. Dia tidak mahu bersuara. Barangkali, esok dia akan berbicara dengan pengetua. Serasanya dia tidak mahu tinggal di sini, biarlah dia kembali ke dunia luar yang dia lebih faham. Dia sudah sampai di biliknya, Puteri Susannah berlalu tidak sedikitpun menoleh ke arahnya. Luna mengangkat kening dan melangkah masuk. Dia berlalu ke katil, keletihan kembali menyelubunginya. Dia baru saja ingin berbaring bila satu lembaga muncul di tingkapnya.
“Siapa kamu???”
Lembaga itu mahu berdiri namun rebah ke lantai. Luna yang masih kaget, mendekati lembaga itu. Dia dapat melihat pedang di tangan kanan lembaga itu. Lembaga itu masih bernafas. Dengan sejuta kepayahan, Luna mengalihkan tubuh lembaga itu.
“Yossio!” dia terkejut dan membantu mengangkat lelaki itu ke katil. Dia pantas memeriksa sekirannya ada luka di tubuh sasa lelaki itu. Tiada sebarang kecederaan, Luna pasti lelaki itu cuma letih kerana bertarung. Tetapi dengan siapa dia bertarung. Luna berlalu ke bilik air dan merendamkan tuala dengan air dan di letak ke dahi lelaki itu. Dia mengeluh, memandang wajah Putera Yossio berdekat begini membuat Luna merasakan Putera Yossio bukan jahat. Luna menguap, dia duduk di sofa dan matanya di lelapkan.
Cahaya menyusup masuk ke dalam bilik dan menyuluh ke wajahnya. Luna membuka matanya. Dia mengeliat kecil. Tidak menyangka bahawa hari sudah pun siang. Dia bingkas bangun dari sofa itu, matanya memandang katil, kosong. Putera Yossio sudah pun pergi atau dia yang bermimpi semalam. Luna memegang dahinya, berdenyut sedikit. Dia memandang katil itu dan segera menghampiri. Dia terkejut bila pintu bilik terbuka.
“Luna, kenapa masih tidak siap. Kita akan terlewat untuk ke kelas!” suara Eliose.
“Lewat?”
Eliose mengangguk, Luna memandang jam di mejanya, benar sekali kata-kata Eliose. Pantas, dia berlalu ke bilik air. Eliose kerut dahi dan ketawa kecil. Dia mendekati katil gadis itu dan segera mengemaskan katil itu. Eliose terkejut bila terlihat butang yang tertinggal di cadar katil itu.
“Saya sudah siap... mari.”
Eliose memandang gadis itu, wajah gadis itu ketakutan.
“Eliose? Kenapa ni? Wajah...”
Eliose menunjukkan butang itu kepada Luna.
“Butang?”
“Luna, Yossio pernah datang ke mari?”
Luna terkejut, dia telan air liur. Dia tidak tahu bagaimana harus dia menjawab.
“Luna?”
Luna menghela nafas, dia tunduk. Eliose memandang wajah gadis dihadapannya. Dia terkejut bila Luna mengangguk sebagai menjawab pertanyaannya tadi.
“Tidak...! Apa yang dia lakukan kepada awak, Luna?”
Luna membisu lagi, putera itu tidak melakukan apa-apa.
“Cepat Luna, jawab?”
“Tiada apa-apa. Dia keletihan dan tidur di katil saya.”
“Apa? Jadi awak.. dia...”
“Eli, dia yang tidur di katil saya. Saya tidur di sofa.”
Eliose, kelihatan sedikit lega dengan jawapan gadis itu.
“Tolong berhati-hati dengan Yossio. Dia lelaki yang berbahaya. Saya takut dia akan cederakan awak, Luna.”
Luna mengangguk kecil, mengerti.
Mereka melangkah masuk ke dalam kelas, tulisan Etika besar terpampang di papan hijau dihadapan kelas.
“Selamat datang... hari ini saya mengantikan Profesor Kazamu. Saya, Cikgu Aiyana.” Wanita itu bersuara dan membetulkan kedudukkan kaca matanya.
“Cantiknya?” suara-suara sumbang kedengaran. Luna mengangkat kening. Wanita itu terus menulis sesuatu dan memulakan pengajarannya.
“Semalam Yossio ke bilik kau?”
Luna terkejut, bagaiman pula orang lain mengetahuinya. Dia menoleh.
“Cik Luna Aurora? Ada apa-apa yang perlu kami ketahui?”
Luna tersentak dan memandang kehadapan kembali, gadis itu cuma tunduk. Malu.
Dia rasa keadaan semalam sungguh berbahaya. Kenapa mereka membenci Yossio dan kenapa dia di panggil manusia? Memang dia manusia? Kakinya melangkah ke arah air pancut dan memandang air pancut yang jernih itu. Dia duduk di tebing kolam air pancut dan mengeluh. Kehadiran seseorang mengejutkannya.
“Putera Kristov?”
“Kau tahu tak? Dengan perbuatan kamu semalam, kamu pasti terbunuh?” suaranya pemuda itu, tetapi tidak garang seperti selalu. Luna tidak mengerti, dia memandang wajah pemuda dihadapannya. Pemuda itu merenung tepat kearahnya. Tetapi pandangannya begitu menenangkan, pelik.
“Kenapa?”
“Pertarungan itu sentiasa akan berlangsung sehingga salah seorang dari kami terbunuh.”
“Kenapa mesti bertarung? Kenapa tidak boleh berdamai dan bersatu?”
“Kau takkan faham, manusia.”
“Jangan panggil saya manusia! Adakah itu satu penghinaan?”
Pemuda itu membisu, dia berlalu namun langkahnya dihentikan dan berpaling sedikit.
“Suatu hari kau akan faham...”
Dia berlalu. Luna ditinggalkan terkebil-kebil. Dia tidak mengerti, cuaca suram bertambah mendung. Dia perlu kembali ke kelas. Dia melangkah masuk ke dewan kuliah, bila terpandang Putera Yossio sedang duduk di dewan kuliah itu. Eliose pantas menarik tangan Luna agar gadis itu tidak mendekati Putera Yossio. Dari tempat duduknya, Luna memerhati bahagian belakang, namun dia dapat melihat bahawa Putera Yossio seperti tidak kisah dan menulis sesuatu. Barangkali putera itu menulis nota pelajaran hari itu. dia menghela nafas.
Rambutnya ditolak ke belakang, Luna sudah bersedia untuk pergi. Dia memerhati Putera Yossio, lelaki itu sudah pun melepasi pintu.
“Eli, saya pergi dulu...”
“Luna!”
Namun, sudah terlambat untuk Eliose menahannya pergi. Luna sudah melepasi pintu dewan kuliah, dia dapat melihat Putera Yossio berjalan dihadapannya. Langkahnya pemuda itu seperti menuju ke arah tangga utara.
“Yossio!”
Namun, panggilannya tidak mendapat reaksi dari pemuda itu. Luna melajukan langkahnya. Pemuda itu berhenti, dan kerana tidak sempat berhenti Luna terlanggar tubuh sasa pemuda itu.
“Aduh! Maaf..!” ujarnya dan menggosok dahinya.
“Apa yang kamu mahu?”
Luna sedikit ragu-ragu, kawasan itu kosong namun Luna masih merasa sukar untuk bersuara. Namun, pemuda dihadapannya tidak berganjak barangkali mahu mendengar apa yang ingin dia katakan. Luna menghulurkan tangannya.
“Awak tinggalkan ini di katil saya.”
Putera Yossio memandangnya. Luna telan air liur.
“Terima kasih.” Pemuda itu mencapai butang ditelapak tangan Luna dan berlalu pergi. Dingin sekali pemuda itu.

No comments: