Tuesday, July 21, 2009

New Exile

Belanda. 4:00 petang.
 Hanny memandang sekeliling, kameranya yang setia menangkap setiap sisi serta posisi di dalam muzium tersebut. Dia juga menangkap beberapa gambar yang menunjukkan plat emas itu tersimpan. Kemudian, dia memandang sekeliling walaupun pandangannya dibatasi dengan pengawal serta pelancong yang datang. Dia tidak kisah, dia harus lakukan ini untuk memastikan nyawa Hanna serta nyawanya terselamat. Matanya galak memandang kawasan tersebut kelihatan plat emas itu dikawal kemas. Sistem kawalan keselamatannya begitu canggih. Dia memerhati lagi, ada beberapa pengawal yang bagaikan curiga dengan tindak tanduknya. Hanny segera beredar ke ruangan lain. Bala menghampirinya. Hanny mengeluh, dia perlu buat sesuatu. Perkara yang lebih penting adalah dia perlu buat sesuatu agar Bala tidak menganggu rancangannya. 
Dari tempat Bala berdiri, dia dapat lihat plat emas yang berharga itu. Bala sudah terbayang ganjaran dan upah yang bakal dia terima dari Adi. 
  “Kita pulang sekarang, cik?” tanya lelaki itu. Hanny tersentak lantas menoleh.
  “Kau pulang dulu, tunggu aku di hotel. Masih ada urusan yang perlu aku selesaikan disini.” Hanny membalas. Bala sedikit keberatan. Namun, dia akur, dia berlalu pergi. Hanny mengeluh lega. Hanny memandang ke arah plat emas itu, pasti berharga plat itu sehinggakan lelaki itu beriya-iya. Plat yang dibuat dengan emas tulin barangkali sebesar 30 sentimeter kali 30 sentimeter dan barangkali beratnya sepuluh kilogram. Dia memikirkan bagaimana dia hendak menjalani misinya, penting sekali macamana nak keluarkan plat itu dari situ. Dia merenung kembali setiap penjuru tempat itu, dia perlu membuat perkiraan, jika salah perkiraan nyawanya yang jadi galang ganti. Hanny telan air liur. 

 Hanna meronta-ronta untuk melepaskan diri, katil itu berkeriut akibat perbuatannya. Dia tidak peduli yang penting dia terlepas dari ikatan itu. Besi-besi itu berbunyi lagi, namun dia terus meronta. Dia tahu kulit tangannya sudah lelas dek rontaannya. Dia tidak peduli semua itu, dia harus larikan diri dari tempat itu. Dia perlu mencari Hanny. Bunyi keriut itu pasti sudah didengari oleh orang yang menjaganya, Hanna terdengar bunyi derapan kaki. Pintu bilik itu terbuka, seorang lelaki bertubuh besar muncul. Hanna terkejut. Lelaki itu melihat keadaannya.
  “Tak guna kau meronta, aku bawa kau makanan.”
Lelaki itu membuka ikatan mulutnya.
  “Tolong lepaskan aku!” suaranya. 
  “Maaf, aku tak dapat buat begitu.”
  “Lepaskan aku, aku nak cari adik aku!” rayunya.
  “Aku tak tahu, apa yang aku tahu Cik Melisza suruh aku jaga kau. Nah! Makan...” suara lelaki itu.
  “Tidak! Selagi aku tak lepas, aku takkan makan. Biar aku mereput di sini. Pergi!!!” jerit Hanna.
Lelaki itu mengeluh, dia menjungkitkan bahu. Makanan itu dibawa pergi.
  “Baiklah...”
Pintu bilik itu ditutup kembali. Hanna menjerit lagi dan meronta. Perutnya berbunyi, dia lapar. Pintu bilik itu terbuka lagi, seorang pemuda bertubuh sederhana besar. Wajahnya yang sedikit comel tersenyum.
  “Cik Hanna, tak baik cik buat begitu. Saya rasa baik cik makan...” suara lelaki itu. Dia mengambil pinggan dan sudu dari lelaki bertubuh besar itu, lelaki itu kemudian berlalu. Dia menghampiri Hanna yang cuba melepaskan dirinya. Pemuda itu tersenyum dan makanan itu didekatkan ke wajah Hanna. Hanna terdiam seketika. Dia telan air liur, perutnya berbunyi.
  “Mari saya suapkan.”
Mahu tak mahu Hanna makan makanan yang disuapkan ke mulutnya. Pemuda itu berhati-hati menyuap gadis itu. Dia tahu, Hanna lapar.
  “Kan elok macam ni?”
Selesai makan, mulut Hanna ditutup kembali.
  “Sebenarnya kami minta maaf kerana terpaksa lakukan begini. Tetapi, kalau cik berkelakuan baik pasti saya akan pertimbangkan.”
Air mata Hanna mengalir, dia perlu lepaskan diri.
  “Cik, rehatlah...”
Pintu itu ditutup kembali. Hanna cuba meronta lagi.

 
 Hanny melihat memandang ke luar tingkap. Dia memandang kad nama yang pernah diberikan oleh Melisza. Haruskah dia menelefon lelaki bernama Irwan Rizal ini. Percayakah lelaki itu nanti? Siapa lelaki itu? Dia merenung sekeliling, cuaca indah sekali. Beberapa jam lagi malam akan melabuhkan tirainya. Dia memerhatikan kamera digitalnya, setiap inci muzium itu telah dia rakam. Dia memerhati dan meneliti satu persatu. Dia beredar ke laptopnya dengan menggunakan wayar USB dia memasukkan semua gambar ke dalam ruang lap top dan mengkajinya satu persatu. Dia berpuas hati... rancangan ini tidak boleh ditangguhkan lagi. Ianya perlu dilaksanakan segera, sebolehnya malam ini juga.

No comments: