Sunday, February 8, 2009

Interlude

Dia bangun malas dari katil, satu hari lagi muncul di dalam hidupnya. Dia merengus, dia bersila di atas katilnya. Rambutnya disanggulkan, dia mengeliat kecil dan tubuhnya di rebahkan kembali ke atas tilam. Telefon bimbitnya berderingnya, skrin telefon Samsungnya terpapar nama Mohizad dia berdengus dan membiarkan saja ia berdering. Malasnya dia untuk bangun pagi itu, dia menguap dan bangun. Kakinya melangkah masuk ke dalam kamar mandi. Baju-baju yang tersedia dicapai dan dipakai. Cermin ditenung lama, kemudian matanya menyorot ke arah jam dimeja. Dia sudah lewat.
Malang betul pagi itu, dia bertembung dengan wajah yang paling dia benci. Benci betul dia melihat lelaki, benci benar-benar benci. Itu sahaja ayat yang dapat dipertuturan. Lelaki itu bukan insan yang baik tetapi lelaki jahat yang perlu dihapuskan dari muka dunia. Benci!!!
“Nuria, dah bangun sayang?” suara itu, dia terasa segala isi perutnya mahu keluar bila mendengarnya. Dia masih ingat ketika lelaki itu mula melangkah pergi dan mummy memperkenalan lelaki itu sebagai teman lelakinya. Disebabkan hal itu, dia dan mummy hampir 2 minggu bermasam muka. Bergaduh adalah acara wajib sebaik saja mata bertentang. Akhirnya mereka berkahwin dan lelaki itu tinggal dirumah itu, makin besar kepala apabila sudah tinggal disini. Keadaan rumah makin tegang dan pergaduhan adalah manisan di meja makan. Tetapi mummy selalu menyebelahi lelaki itu.
“Sayang, dia tetap ayahmu,” ujar mama.
Itu membuat dia tambah geram, entah apa yang lelaki itu buat sehingga mummy boleh menyebelahi lelaki itu. Entah ubat apa yang telah diberi pada mummy.
“Ayah... ayah saya dah lama meninggal. Lagipun nama ayah saya Rashidi bukannya Osman!” Setiap kali dia dan mummy bergaduh, lelaki itu pasti memujuk. Konon! Entah jerat apa pula yang dia pasang pada mummy, memperdaya mummy. Mummy bolehlah dengan dia minta maaflah, bisik hatinya. Meluat melihat tindak tanduk lelaki itu. Suasana rumah sentiasa suram, kelam dan penuh rasa amarah. Tetapi itu hal semalam, mummy pun sudah 1 bulan pergi dan takkan kembali. Dia rasa bersalah dengan wanita itu, begitu banyak dosanya. Kebencian untuk lelaki itu bertambah, seandainya mummy tak berkahwin dengan lelaki itu tentu sekali mummy masih hidup. Lelaki itu tidak layak dihormati kecuali menjadi musuh. Iya! Osman bin Jalil adalah musuhnya.
“Mari bersarapan dengan ayah, sayang?”
Dia memandang lelaki itu, ternyata lelaki itu sudah bersiap untuk ke pejabat. Itu tentu nak menghabiskan harta mummy. Mummy dengan mudah mewasiatkan syarikat itu kepada lelaki itu. Firma Widuri syarikat yang mummy tubuhkan sejak 20 tahun lalu kini dikuasai penuh oleh lelaki itu, makin rancaklah keangkuhannya. Dia renung kopi diatas meja itu, sepahit-pahit kopi itu pahit lagi kehadiran lelaki itu dalam hidupnya. Tanpa menjawab, Nuria berlalu. Kedengaran hon kereta dihadapan rumahnya.
“Nuria, biar ayah hantar Nuria pagi ni?”
“Tak payah susahkan diri. Lagipun, aku tak layak menaiki kereta tu!” ujarku. Dia kelihatan terpukul dengan kata-kata itu. Dia melangkah mendekati Proton Savy hitam itu.
“Hai, sayang?” ujar pemuda di dalam kereta buatan Malaysia itu.
“Hai, dear.”
“Kenapa muka you merah padam, sayang?”
Dia hanya membisu, malas nak bercakap mengenai hal itu. Nanti menambahkan sakit hatinya.
Pintu gerbang Kolej Sri Binar dihadapan, indah dan megah. Hari itu dia dipanggil pengetua, lelaki itu berleter kerana pelajarannya yang merosot.
“Nurialissa, macamana awak boleh merosot ni? Tengok, CGPA awak dari 3.3 boleh jadi 1.9!”
“Prof, jangan salahkan saya. Salahkan lelaki di rumah saya.”
“Maksud awak, ayah awak?”
“Pembetulan, dia bukan ayah saya. Ayah saya dah mati!” suaranya tegas.
Lelaki itu membisu, biasalah kalau dengar kebenaran semua pasti membisu. Faham sangat! Dia kembali bersama kawan-kawan, serasanya kehadiran mereka memberi keceriaan yang tidak dapat dia kecapi di dalam rumah.
Lelaki itu menunggunya pulang malam itu, dia sedikit mabuk. Pandangannya berpinar seketika. Lelaki itu mahu memapahnya namun dia tempis.
“Jangan sentuh, aku bukan mummy. Kau buta ke!”
Lelaki itu mengucap panjang, masih cuba membantunya yang terhoyong hayang.
“Ayah harap Nuria jangan lagi bergaul dengan lelaki itu, please?”
“Shut up! Diam!”
“Hazan bukan lelaki baik, dia...”
“Tak boleh diam ke? Aku bukan budak kecik! Diam!”
Hempasan pintu bergema diruang rumah.
Jam loceng berdenting, dia memicit dahinya. Sudah jam tujuh pagi, dia mengeluh. Dia malas bangun pagi itu, namun dia terpaksa mengagahi diri menuju ke kamar mandi. Hari ini dia ada tugasan yang perlu diselesaikan di Kolej. Tambahan, dia sudah diberi amaran oleh pihak HEP jika dia buat perangai atau CGPAnya jatuh lagi, pihak kolej akan memanggil lelaki itu dan dia akan digantung. Kalau pihak kolej memanggil lelaki itu dan menerangkan tentang dia pastinya lelaki itu akan mencemuhnya dan mengejeknya serta berpeluang sepenuhnya membolot hartanya, kerana itu dia memaksa diri untuk bangun dan ke kolej. Kedengaran bunyi enjin kereta, pasti lelaki itu sudah keluar. Kemana agaknya lelaki itu pergi? Jumpa teman wanitanya barangkali? Seawal ini dia bertemu kekasih hatinya? Hebat? Tak hairan, lelaki seperti itu pasti berderet gundik yang menantinya. Dengan duit milik mummy pasti dia tabur dijalanan dan perempuan-perempuan murahan yang buta kerana duit pasti merangkak mencarinya. Memang lelaki itu manusia bertopengkan iblis.
Hazan lewat hari ini? Dia merenung jam ditangan. Malas betul dia menunggu lama-lama begini.
“Ini yang malas bercinta dengan budak luar kolej!” bisik hatinya dan beberapa saat kereta lelaki itu muncul.
“Nuria, marilah ayah hantar balik. Ayah pun nak balik juga, sengaja ayah lalu di sini.”
Dia berdecit dan memalingkan wajah.
“Sibuk? Hebat sangat ke datang ambil aku kat kolej?”
“Ayah ikhlas, sayang...”
Terasa geli geleman mendengar kata-kata lelaki itu.
“Sudah!!!”
Dia melangkah dan menuju ke perhentian bas, Hazan muncul. Mereka meluncur laju dan menghilangkan diri.
“Itu kereta father you?” suara Hazan sebaik saja melepasi kereta milik Osman.
“His not my father. Gila, siapa nak jadi anaknya. I hate him!”
“Tak baik...”
“Amboi... sejak bila pula you sign kontrak jadi tukang bela dia?” bicara Nuria. Hazan ketawa kecil.
“I cakap begitu pun salah. You ni! Okay, sekarang nak ke mana? You nak balik atau...”
“Kemana saja. Balik, nantilah! Kalau terasa nak balik, I balik.”
Hari minggu Nuria terasa seakan cacing panas. Dia mundar mandir di dalam biliknya, sesekali dia duduk di katil. Nombor telefon Hazan didail beberapa kali tetapi lelaki itu tidak menjawab, pasti lelaki itu masih tidur. Tak guna! Ke mana aganya dia mahu pergi, kalau duduk di sini pastinya berjumpa dengan lelaki itu. Pintu bilik kedengaran diketuk, dia mendengus.
“Sayang, ayah nak cakap sikit. Marilah bersarapan sekali?” suara lelaki itu dibalik pintu. Entah apa yang nak dia cakap, pastinya dia ada yang nak dibebelkan. Berlagak alim, payah..!
“Cakap je... tak payah nak buat baik. Geli!”
“Hazan bukan budak baik, so ayah harap Nuria jauhkan diri dari dia!”
“Eh! siapa kau nak halang aku? Suka hati akulah! Sibuk! Mana kau tahu Hazan jahat atau tak???” dia berang.
“Ayah tahu... ayah pernah...”
Pinggan didepannya ditempis dan jatuh berderai. Lelaki itu terkejut, dia mengurut dada.
“Jangan nak memandai. Kau yang jahat... kau yang nak merampas harta aku jadi jangan memandai tuduh orang,” suaranya.
“Ini rumah aku... kau tak patut tinggal disini. Muka tak tahu malu, aku tahu kau nak bolot harta ni, kan? Baik kau keluar dari sini. Keluar!” jeritnya lagi dan berlalu pergi. Osman bersandar dikerusi meja makan, dia kecewa dengan kata-kata yang dilemparkan. Selama ini dia tidak pernah berniat untuk merampas. Selama hari ini, Dayang menyuruhnya menjaga Firma Widuri sehingga Nurialissa berusia 21 tahun. Anak tirinya itu baru mencecah 20 bermakna tinggal setahun saja untuk dia menyerahkan tanggungjawab itu namun sebelum itu Nurialissa perlu berlatih namun apa yang dia nampak teramat mustahil. Dia perlu berusaha, pentingnya Hazan perlu dijauhi dari gadis itu. Tetapi, cara yang bagaimana perlu dia lakukan? Lembut atau kasar? Tambahan, dendam gadis itu terhadapnya makin bercambah subur. Dia tidak pasti.
Dia menanti seperti biasa, kelibat Hazan tidak kunjung tiba. Sebuah teksi muncul dihadapannya.
“Teksi, cik?”
“Tak! Saya tak naik teksi.”
Pemandu teksi itu tidak menjawab dan berlalu pergi. Jam ditangan menunjukkan dua petang. Lelaki itu masih tidak kunjung tiba, telefon bimbit dicapai dan didail nombor lelaki itu tidak berjawab. Persetankanlah, jerit hatinya. Tangannya melambai ke arah pemandu teksi yang menunggu dihujung perhentian.
“Taman Baiduri..”
“Boyfriend tak datang ke cik?”
“Jangan sibuk! Hantar je saya balik, okey!” suaranya. Tangannya masih mendail nombor telefon bimbit Hazan, masih tiada jawapan. Dia mendengus. Wang dibayar kepada pemandu itu bila destinasinya tiba. Dia menghentak kaki, marah kerana Hazan tidak muncul-muncul. kereta diporch dapat dilihat, dia merengus. Kalau tidak kerana Hazan tidak mengambilnya tadi sudah pasti dia tidak pulang ke rumah.
“Nuria, dah pulang.”
Gadis itu berlalu tanpa mendengar, lelaki itu mengeluh. Potret di dinding diperhatikan dan dadanya diurut beberapa kali. Beberapa minit kemudian, gadis itu muncul lagaknya seperti ingin keluar.
“Nuria, ayah nak cakap dengan Nuria. Please, ayah harap Nuria tak keluar malam ni? Please?” suara lelaki itu separuh merayu.
“Kau merayu untuk aku duduk di rumah, hairan? Aku tak mahu, aku nak keluar muka kau aku dah muak nak tengok.”
“Nuria!”
“Menengking nampak! Kenapa? Aku kurang ajar? Kau tak layak nak nasihat aku. Sudah! Aku nak keluar...” ujar Nurialissa. Bergema ruang rumah dengan bunyi hempasan pintu. Lelaki itu merengus, di capai telefon bimbitnya dan memanggil seseorang.
Hazan mendekatinya yang minum sendirian, hari ini dia tidak terasa ingin menari dan enjoy. Kemarahan yang terpendam terhadap ayah tirinya begitu membuak-buak. Dia terasa kalau bisa mahu sahaja dia meracuni lelaki itu, biar mati. Tetapi mana mungkin, silap perhitungan ke kandang besi pula dia.
“Hai, sayang. Marah nampak?”
Nurialissa menjeling lelaki itu. Hazan ketawa kecil.
“I tahu, you call I tadi dan I tak menjawab? Sorry, petang tadi I ada business yang perlu diselesaikan.”
“I tak penting ke?”
“Youlah yang paling penting dalam hidup I, sayang.”
Nurialissa merengus dan menghirup airnya. Hazan menghulurkan sesuatu. Dia melihat bungkusan itu, terdapat 3 biji pil merah jambu di dalamnya. Hazan menyuruhnya menelan pil-pil itu.
“Ini bisa buat you lupakan ayah tiri you dan masalah yang you hadapi sekarang. Ambil dan enjoy!”
Nurialissa ragu-ragu namun desakkan Hazan menukar fikiran dan pil-pil itu ditelan bersama air Coke yang dipesan.
“Tak rasa apa-apa pun? You tipu!”
“Tunggulah dan lihat hasilnya. Jom menari dengan I, malam ni kita enjoy!”
Nurialissa mengikut dan dia berharap masalahnya lenyap setelah pil itu ditelan. Dia mula menari mengikut rentak lagu yang dipasang. Badannya sedikit panas namun dia teruskan menari.
Bunyi bingit di dalam kelab itu tidak disedarinya, baginya dia lebih selesa dengan bunyi-bunyian dari lagu-lagu itu. Suasana panas diruangan itu tidak dihiraunya. hari ini dia terasa bertenaga sekali, sekali pun dia tidak merasai keletihan dia terus menari. Rasa semangat terus dirasai... orang-orang disekeliling tidak dihiraukan dan tidak perlu dihiraukan. Dia terus menari, lagu daripada Black Eye Peas begitu membuak semangatnya. Dia terus menari dan terus menari, wajah Hazan dihadapannya tidak kelihatan dan dia tidak kisah tika itu. Sehingga pandangannya terasa kabur dan bunyi lagu yang didengari tidak lagi berbunyi. Ditepuk-tepuk dahinya namun pandangannya kian kabur dan dia tidak ingat apa-apa.
Matanya dibuka perlahan-perlahan, dia memandang siling. Asing sekali, dia bingkas bangun dari katil dan memerhati keadaanya. Pakaian yang dia pakai adalah baju pesakit dihospital. Dia kehairanan dan bersedia untuk turun dari katil, pintu bilik dibuka seorang jururawat muncul.
“Nurse, ini... ini wad gila ke?”
Jururawat itu seakan keliru dengan pertanyaannya.
“Ini hospital biasa, cik dimasukkan semalam,” ujar jururawat itu dan kemudian berlalu pergi. Dia cuba mengingatkan apa yang telah berlaku semalam namun sedikit pun memori semalam tidak dapat diingat. Dia mencuba dengan sekuat hatinya namun sedikit pun tidak dia ingat. Nurialissa baring semula dan cuba mengingat hal semalam, namun sia-sia. Dia tension. Pintu bilik terkuak, dia menoleh. Dua orang lelaki muncul, dari gaya mereka Nurialissa dapat mengagak mereka ini anggota polis kemudian seorang lelaki berpangkat Inspektor muncul segak dengan pakaian seragamnya.
“Selamat tengahari cik Nurialissa. Mengikut kata doktor, awak dah sembuh dan boleh keluar petang nanti.”
“Kenapa encik? Apa yang dah berlaku?”
“Kami sudah berjaya menangkap Hazan bin Kamaruddin atau dikenali sebagai Torak. Dia amat dikehendaki oleh pihak kami.”
“Dikehendaki?”
“Hazan adalah pengedar pil khayal di seluruh Selangor, pihak kami sudah lama menjejakinya. Dengan bantuan ayah awak, kami berjaya memberkas lelaki itu lewat malam semalam.”
Ayah... lelaki itu menolong pihak polis? Dia jadi keliru.
“Dia merupakan informer kami dan kebetulan Hazan di dalam senarai penjenayah yang dikehendaki dan ayah awak berusaha untuk memberkasnya.”
“Saya... ayah saya???”
“Encik Osman bin Jalil, dia selalu membantu pihak kami untuk menangkap penjenayah. Di dalam serbuan semalam, dia turut cedera kerana mahu menyelamatkan awak dari Hazan dan konco-konconya.”
“Cedera???”
Pintu bilik itu dikuak, semua yang hadir menoleh. Lelaki bernama Osman muncul. Nurialissa memandangnya. Kelihatan dahi lelaki itu bertampal dan lengannya berbalut. Dengan langkah perlahan-lahan, lelaki itu mendekatinya. Air jernih yang mula bertakung dikelopak matanya mencurah. Lelaki itu senyum.
“Anak ayah dah selamat... jangan risau,” suara lelaki itu. Nurialissa pantas memeluk dan menangis di bahu lelaki itu.
“Ayah!!! Ampunkan Nuria... Ayah!!!”
Osman menghela nafas, dia lega. Akhirnya panggilan itu keluar juga dari mulut gadis itu. Panggilan yang amat dia harap dari gadis itu. Gadis yang selama ini dianggap seperti anaknya sendiri. Osman memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana hari itu semua doanya sudah termakhbul.
-TAMAT-

No comments: