Sunday, February 8, 2009

Bukan Jodoh Kita

Angin sepoi-sepoi bahasa meniup ke wajahnya, dia memerhati kanak-kanak yang sedang asyik bermain pasir di gigi pantai. Salah seorang dari kanak-kanak itu melambai ke arahnya dan dia membalas. Dia kemudian berjalan dipantai sambil menjinjing kasutnya, kehangatan pasir pantai bagai melegakannya. Angin membuaikan dirinya dan dia bahagia, tiba-tiba sesuatu melanggarnya dari arah belakang. Dia menoleh.
"Firdaus, say sorry!" satu suara mengarah. Dia mengusap kepala anak kecil itu dan memandang ke arah suara itu. Dia agak terkejut memandang wajah lelaki itu, begitu juga lelaki itu.
"Zam..!"
"Nella?"
Ucap mereka serentak. Anak kecil itu berlalu meninggalkan mereka yang terkedu tak berkata-kata. Lelaki itu mengaru kepalanya dan tersenyum. Mereka masih membisu dan mencari ayat yang sesuai untuk memulakan bicara.
"Anak awak?" Nella memulakan kata. Lelaki itu mengangguk cuma. Mereka membisu lagi, Nella memandang ke arah kanak-kanak yang sedang bermain di gigi pantai.
"Lama tak jumpa, kan?" ujar Zam.
"Empat tahun. Lama, kan? Tak sangka jumpa di sini." Nella menyambung perbualan mereka. Zam mengeluh dan dia kini kehilangan kata-kata. Mereka beriringan di pasir pantai.
Dia berlari keluar dari apartment dan menuju ke jalan besar sambil menahan teksi. Seseorang mengejarnya dari belakang, namun dia segera masuk ke dalam perut teksi itu. Dia tidak percaya melihat apa yang dilihat tadi. Lelaki itu sedang bercumbuan di atas sofa dengan wanita lain. Tidak disangka lelaki yang dicintainya akan memperlakukan sedemikian padanya. Dia cuba menangis namun tiada air mata yang gugur, perasaannya benar-benar terhiris. Telefon bimbit MOTOROLAnya berdering namun tidak disambut kerana dia tahu siapa yang menelefonnya.
"Cik dah sampai!" pemandu teksi itu bersuara. Dia membayar tambang teksi dan melangkah keluar. Kemudian melangkah longlai masuk ke dalam pangsapuri tersebut.
Zam melangkah masuk kedalam apartmentnya dan duduk kembali di sofa. Dia mengeluh.
"Jadi itulah Nella, kekasih you?" ujar gadis itu ada sedikit nada cemburu.
“Gadis yang I cintai dah pergi meninggalkan I. Tidak…dia tak bersalah, I yang bersalah. I tak setia."
Gadis itu mendekati Zam dan duduk di sisinya. Gadis itu mula bersandar di bahu Zam.
"Fira, I rasa baik you balik," suara Zam. Kedua telapak tangan di letakkan ke dahinya. Dia merengus berkali-kali.
"Alah…apa salahnya I duduk di sini? Lagipun I tahu you sedang bersedih sekarang ni?"
"Semuanya salah I…"
Fira tersenyum cuma dan mengusap wajah Zam, kemudian dia meletakkan wajahnya ke dada lelaki itu.
"You tak salah Zam. Ini adalah takdir," ucap Fira dan memeluk tubuh lelaki itu dan Zam membalas pelukan itu.
Kehadiran Fira sedikit sebanyak menyebabkan Zam hampir melupakan Nella, kini mereka mabuk cinta dan sering kelihatan bersama dimana jua mereka berada. Bagi Zam, kini dia hanya perlukan Fira bukannya Nella. Nella hanya cerita semalam yang tidak lagi dia perlukan. Dia gembira dengan kehadiran gadis itu yang mampu membelainya dan mencintainya sepenuh hati tanpa runggutan dan tanpa henti. Firalah segala-galanya kini.
Nella meniarap di katilnya, dia mengalihkan badannya dan memandang ke arah siling. Namun, pandangannya kosong. Dia kebosanan. Dia merengus dan merengus. Ruangan bilik itu dapat melihat betapa Nella tidak keruan dan kebuntuan fikiran. Nella mundar mandir di dalam bilik itu bagai cacing kepanasan. Tingkap biliknya di buka dan dia dapat lihat burung-burung terbang pulang ke sarang. Alangkah bahagianya menjadi burung, bebas tanpa perlu berfikir banyak. Dari tingkat sepuluh dia memerhati ke lapangan letak kereta, alangkah bagus kalau tiba-tiba Zam muncul di situ dan melambai ke arahnya dan dia akan berlari mendapatkan lelaki itu. Ketika itu mereka akan mengucapkan kemaafan serentak dan selepas itu mereka akan kembali seperti sediakala seperti sebelum dia lihat kejadian 2 bulan yang lalu. Dia mengeluh lagi. Kenapa kejadian itu bermain semula difikirannya? Dia mengutuk dirinya terlalu lemah. Namun, dia terlalu sayangkan lelaki itu dan baginya jodohnya hanya dengan lelaki itu. Dia hairan kenapa selama dua bulan ini Zam tidak langsung menelefonnya, dia kecewa dengan keadaan itu. Mungkin benar Zam tidak lagi sayang pada dirinya dan mungkin benar lelaki itu sudah berubah hati.
“Lelaki mudah sangat berubah fikiran!” getus difikirannya. Dia merengus dan mengikat rambutnya yang mula panjang melepasi bahu. Alangkah bodoh dirinya kerana masih mengingati lelaki sekejam Zam. Nella cuba menangis namun entah mengapa air matanya enggan menitis. Kedengaran pintu biliknya diketuk dengan jutaan malas dia membuka pintu biliknya. Kakaknya dimuka pintu.
"Kakak tahu Nella sedih, dik tapi Nella perlu kuatkan semangat." pujuk Yana. Nella memeluk kakaknya.
“Kakak rasa dia bukan lelaki terbaik untuk Nella. Kakak harap Nella lupakan dia.”
“Tapi, Nella sayangkan dia!”
Yana mengeluh dan mengusap rambut adiknya.
“Nella sayangkan dia tapi dia..?” kata-kata Yana henti disitu. Dia tidak mahu menyakitkan hati adik kesayangannya dengan meneruskan kata-katanya. Yana berdecit.
“Jangan menangis dik. Jom, kakak dah masak marilah kita makan. Jangan kerana bersedih perut tu dibiarkan kosong. Nanti tak cantik!” pujuk Yana dan kedua beradik itu ketawa kecil.
Zam merengus tayar motor kesayangannya pancit. Dia menyumpah di dalam hati, dia menolak motor kesayangannya. Helmet yang dipakai di gantung di handle motornya dan dilonggarkan tali leher. Cuaca panas mencengkam kulitnya, Zam mengomel sendiri. Dia terpandang satu wajah yang amat dikenali, langkahnya terhenti. Nella, wajah yang sudah dua bulan tidak dilihatnya. Zam telan air liur, dia berdiri disitu dan berharap gadis itu akan menoleh kearahnya. Sayang, gadis itu sudah pun menaiki bas INTRAKOTA. Entah mengapa jantungnya berdegup laju bila terpandang gadis itu tadi. Kata orang, kalau hati berdegup kencang terhadap seseorang bermakna perasaan cinta itu masih ada. Iya atau tidak dia sendiri pun tak pasti. Namun, kerinduan pada Nella masih ada. Zam merengus dan masih menolak motor kesayangannya untuk pulang ke apartment. Perjalanan selama dua puluh minit menjadi hampir satu jam kerana tayar motornya pancit. Dia melihat motornya, petang nanti dia akan cuba telefon Sammy untuk menguruskan tayar motor yang pancit itu. Dia rebah di atas sofa, alat penghawa dingin di pasang sekuat-kuatnya. Dia benar-benar kepanasaan, Zam mengeluh keletihan. Mata bundarnya sempat melihat jam di dinding, hampir dua petang. Mujur kelas Ekonomi telah dibatalkan kalau tidak, dia terpaksa menapak untuk ke kuliah. Dia mengeliat, menguap dan memejamkan mata, dia mahu rehat sebentar sebelum mandi.
Nasi goreng tidak habis dijamah, serasa tidak berselera untuk meneruskan suapan. Dia meneguk air minuman sambil memerhati orang dikeliling gerai itu. Dia mengeluh tiada apa yang menarik untuknya. Dia segera bingkas bangun dan membayar harga makanan. Dia menapak kembali ke apartmentnya, Sammy tidak dapat datang membetulkan tayarnya. Dia melintas jalan, Fira pun sudah lama tidak jumpa dia. Mungkin sibuk dengan kuliahnya juga, biarlah!
“Kalau Nella muncul di sini, kan bagus?” bisik hatinya, dia senyum sendiri. Kunci apartmentnya dicapai dipoket seluar. Dia memutar tombol apartmentnya bila namanya di panggil. Zam menoleh, wajah Nella ditatapnya. Gadis itu mendekatinya dan meletakkan kepalanya di dada Zam dan lelaki itu membiarkannya.
"Zam, maafkan Nella…"
Zam membisu, dia mengeluh. Dia tergamam. Gadis itu menghampiri.
"Nella tak boleh lupakan Zam. Nella sayangkan Zam, sayang sangat!" ujar gadis itu.
Zam senyum kecil dan mula merangkul gadis itu. Dia faham apa yang gadis itu rasakan, sebab begitu juga perasaannya.
“Zam…Zam!”
Zam menoleh, rangkulannya dileraikan. Nella turut merenung orang yang menghampiri mereka. Dia mengerutkan dahi, dia menjauh dari Zam. Kelihatan wajah gadis itu suram, mungkin lepas menangis. Nella dapat lihat sisa air mata dikolam matanya.
“Zam…I…I mengandung dan you mesti bertanggungjawap!” Gadis itu menangis semula. Lemah lutut Nella mendengar kata-kata, dia benar-benar tidak percaya apa yang dia dengar. Dia renung wajah Zam, lelaki itu kelihatan keliru.
“You mesti bertanggungjawap. Mesti! Mesti!!!” suara gadis itu lagi. Zam merenung wajah Nella dan mereka berbalas pandangan. Nella berlalu, dia faham apa yang Zam cuba nyatakan. Dia mengangguk dan berlalu.
“Maafkan aku, Nella. Aku mesti bertanggungjawap atas apa yang telah aku lakukan. Maafkan aku…” bisik hatinya sambil melihat gadis itu berlalu pergi. Zam memapah Fira yang sudah terjelopok di lantai.
"Fira, jangan risau I akan bertanggungjawap atas apa yang dah I lakukan…" suaranya.
Bunyi ombak mengejut Nella dari lamunan. Dia menoleh, Zam masih di sisinya
“Mana isteri awak?” tanya Nella. Zam tunduk dan menguis pasir pantai dengan hujung kasutnya. Lelaki itu tak segera menjawap.
"Dia dah pergi entah ke mana dan tinggalkan Firdaus dengan saya," ujarnya. Nella diam, tidak tahu apa yang harus ditanya lagi. Dia renung Firdaus yang sibuk bermain pasir.
“Ibu…ibu…ibu..”
Nella menoleh dan seorang anak kecil mendapatkannya.
“Ain, salam uncle.”
“Uncle?” tanya anak kecil itu.
Nella mengangguk dan anak kecil itu menyalami Zam dan kemudian mendapatkan Nella semula.
“Anak awak?”
“Iya.” Ringkas jawapan Nella.
Zam mengangguk dan menoleh ke arah anaknya.
“Firdaus, jangan main tu!”
Dari arah bertentangannya, seorang lelaki mungkin sebayanya dan mendekati mereka. Zam agak tidak selesa dengan kehadiran itu.
“Zam, ini husband saya Taufik.”
Kedua lelaki itu bersalaman.
“Hmm…saya balik dulu dah lewat. Firdaus, aunty balik dulu. Bye!”
Firdaus hanya membalas lambaian Nella dan mendapatkan Zam. Zam menarik nafas panjang dan ketawa kecil. Nampaknya Nella bahagia dengan pilihannya kini. Dia hanya melihat Nella berlalu dengan suami serta anaknya. Dia berdoa agar temannya itu bahagia.
“Papa, jom balik! Daus, lapar!” suara Firdaus sambil menarik bucu kemeja Tnya.
“Jom, nak makan apa?”
“KFC!” ujar anak kecil itu.
Zam ketawa kecil dan mendukung anaknya dan meletakkannya di atas bahu dan berlalu menuju ke arah tempat letak kereta. Anak kecil itu ketawa kegembiraan.
“Nella, walaupun bukan jodoh kita tapi, mulai hari ini aku akan berusaha lebih agar kehidupan aku dan anak aku akan terjamin. Aku berjanji!” bisik harinya dan menghidupkan enjin motor dan berlalu meninggalkan tempat itu dengan janji baru tertanam dihatinya.
TAMAT

No comments: