Saturday, February 28, 2009

Semalam di Batu Pahat

am baru saja menunjukkan lima pagi, bas yang baru sahaja dia turuni sudahpun berlalu pergi. Dia melihat sekeliling, kosong. Tiada sesiapa pun di situ, dia keseorangan. Dia memandang lagi, cuma kelihatan seekor anjing tua yang menumpang tidur di kaki lima diseberang dari tempat dia berdiri. Dia masih tegak berdiri, tidak tahu ke mana arah yang harus dia pergi, tambahan ianya merupakan tempat asing baginya. Dia tidak selesa begitu. Dia dapat melihat beberapa kelibat manusia, dia berdoa dan berharap manusia-manusia itu tidak berniat jahat. Dia mendonggak dan berharap hari lekas siang.
“Hello, tunggu siapa?”
Jantungnya bagai berhenti berdetak. Suara yang tidak dikenalinya menegur, dia membisu. Hatinya tertanya apa yang harus dia lakukan. Dia cemas. Nafasnya tidak sekata, dia tidak bersuara bagaikan tersekat di kerongkong pada ketika itu. Kedengaran bunyi ketawa, orang itu mengtertawakannya. Berani sungguh!
“Maaf, saya ingatkan awak perlukan teman berbual.”
Dia menoleh, kemudian berpaling. Dia tidak suka berada didalam keadaan begitu. Seorang lelaki, barangkali seusianya atau lebih. Dari ekoran mata, lelaki itu kelihatan bertubuh sasa tentu sekali kuat bersenam.
“Saya pun macam awak, tunggu hari siang.”
Dia membisu lagi, lelaki itu berdehem dan bunyi keluhan kedengaran. Dia dapat melihat lelaki itu berlalu pergi, dia menghela nafas lega. Dia dapat bernafas semula, dia mendengus. Dia memandang sekeliling lagi, jam tangan dilihat sudah hampir enam pagi. Dia juga dapat melihat beberapa kelibat manusia. Tentu sekali mereka-mereka itu mahu ke tempat kerja. Dia menoleh, lelaki itu masih disitu. Dia tersenyum dan mengangguk kecil, bila pandangan bertembung. Dia berdecit dan melihat jamnya lagi. Temannya lewat, dia mendengus lagi. Kakinya sudah lenguh berdiri, bila agaknya temannya akan muncul dan menjemputnya.
“Hello, Saera. Aku dah tiba, bila kau nak jemput aku?”
“Maaf, aku terlupa nak beritahu kau. Aku sekarang dalam perjalanan ke Singapura.”
Hampir ternganga dia mendengar keterangan temannya.
“Habis tu? Takkan aku nak balik ke Bidor, Saera aku baru je tiba?” jelasnya.
“Aku tak boleh nak buat apa-apa, aku dah nak tiba dah...”
Talian segera dimatikan, dia mengeluh. Dahinya ditepuk beberapa kali dan dia menggelengkan kepalanya. Dia mula menangis, dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan sekarang.
“Hai, awak ada masalah? Awak nak ke mana?”
Dia mengangkat wajahnya, wajah lelaki itu direnung. Lelaki itu hanya mengukirkan senyuman, tiada calitan mencurigakan terpancar diwajah itu. Namun, dia keberatan untuk menceritakan masalahnya.
“Kalau awak tak berterus terang, macamana saya nak tolong awak.”
Dia membisu lagi, wajah lelaki itu direnung lagi. Dia mahu saja beritahu masalahnya tetapi rasa takut menyelubungi.
“Okey, awak ikut saya.”
“Ikut..?”
Lelaki itu mengangguk, dia berlalu pergi. Dia bercakap dengan seorang lelaki tua yang layak digelar datuk. Kelihatan mereka seperti sedang berbincang, dia juga lihat lelaki itu beberapa kali menoleh memandangnya dan turut menunjukkanya kepada lelaki tua itu. Dia telan air liur, apa maksud perbuatan lelaki itu?
“Mari...” ujar lelaki itu dan turut mengangkat beg sandang miliknya. Di dalam keterpaksaan itu dia mengekori lelaki itu. Mereka menghampiri teksi berwarna biru, kereta Mercedes lama itu dimasuki. Mereka duduk sebelah menyebelah dibahagian belakang, dia terasa janggal.
“Kamu berdua budak Maktab yer?” tanya lelaki tua itu, ada loghat Jawa didalam pertuturannya.
“Maktab?” bisik hatinya.
Dia mengerling ke arah lelaki itu, dia pelajar Maktab? Tiada gaya langsung, lagipun di Batu Pahat ada Maktab? Dia tertanya-tanya kerana seingatnya hanya di Johor Baharu saja ada Maktab. Dia masih melayani perasaannya dan tidak kisah dengan perbualan lelaki itu dengan pemandu teksi tua itu. Beberapa minit berlalu, mereka sudah pun melepasi pintu masuk Maktab Perguruan Batu Pahat. Wujud rupanya tempat ni, itulah yang bermain difikirannya. Teksi itu berhenti, dia memandang sekeliling. Asrama Puteri. Itulah yang tertulis dipapan tanda berwarna merah.
“Okey, pakcik. Terima kasih.”
Mereka berdua melangkah keluar. Dia dapat lihat duit kertas sepuluh ringgit bertukar tangan. Teksi itu kemudian berlalu pergi, dia menanti apa yang perlu lelaki itu lakukan. Dia dapat lihat lelaki itu mengeluar telefon bimbitnya.
“Hello, Lily...”
Lelaki itu beredar sedikit jauh dari dirinya, apa agaknya yang dia katakan kepada orang yang bernama Lily itu.
“Awak tunggu kejap, tunggu kawan saya.”
Lima minit berlalu, seorang gadis yang muda darinya muncul. Gadis itu bertudung dan memakai windbraker jenama Adidas.
“Lily, ni sepupu aku. Aku tumpang dia kejap, lepas ni aku nak hantar dia balik. Tolong yer!”
“Sepupu? Cantik macam ni?”
Dia bagai tidak memperdulikan kata-kata gadis itu, dia memalingkan wajahnya tetapi terasa kehangatan diwajahnya. Dia malu, tidak pernah orang memujinya sebelum ini. Lelaki itu membuat mimik muka dan berlalu.
“Tak sangka awak ni sepupu dia. Datang dari mana?”
“Perak. Bidor.”
Lily mengangguk.
“Kalau nak mandi, boleh mandi kat sana. Nak solat, boleh saya pinjamkan telekung dan sejadah.”
Dia hanya mengangguk dengan kata-kata gadis itu. Lily begitu peramah, dia terasa seperti di tempat sendiri. Dia melihat dua katil di situ.
“Kalau nak baring, baringlah di katil Kak Jun. Dia balik Pahang.”
Dia mengangguk lagi, tangannya pantas membuka zip beg dan mencapai apa yang perlu untuk dia gunakan.
“Kak, sepupu kak bagi SMS. Dia kata pukul sebelas, jumpa dia ditempat tadi.”
“Dia baik tak?”
“Siapa?” tanya Lily, naif.
Dia baru perasan yang dia tidak mengetahui nama lelaki itu.
“Oh! AG... Baik juga. Kami tak sekelas tetapi selalu bertegur sapa.”
“Habis kenapa dia telefon Lily?”
Lily ketawa kecil.
“Kawan sekelas dia mana balik lagi dari cuti semester. Kumpulan dia selalunya balik lewat, hampir senja barulah nampak batang hidup mereka.”
Dia mengangguk. AG, nama yang pelik.
“Kakak ada dua jam lagi. Eloklah, kakak mandi.”
Dia melangkah, sebuah kereta Kancil hitam menanti. Lelaki itu keluar, dia sudah menukar pakaiannya.
“AG, kau nak hantar dia terus ke balik Perak?”
“Tengoklah, rasanya tiket masih ada. Jom!” suara lelaki itu.
Dia melangkah dan memasuki perut kereta.
“Kereta awak?” tanyanya sebaik saja melepasi pintu besar maktab tersebut.
“Taklah, kereta kawan. Dia tak balik lagi, tapi dia benarkan saya pinjam. Jangan risau.”
Dia membisu, matanya diarahkan ke jalan. Sesekali dia melihat sekelilingnya, disuatu sudut terlihat bangunan yang hampir siap.
“Kalau tak salah nak buat pusat membeli belah.” Suara lelaki itu tanpa ditanya. Dia telan air liur kemudian mengangguk. Jalanan di Batu Pahat sedikit sesak dengan kenderaan. Lelaki itu cekap memandu kereta kecil itu.
“Kita dah tiba, marilah. Harapnya adalah tiket awak ke Perak.”
Dia membuntuti lelaki itu. Dia lega kerana tidak menghadapi masalah, lelaki itu memang boleh diharap. Mereka menuju ke kaunter menjual tiket.
“Tumpang tanya? Tiket ke Ipoh ada lagi?”
“Ada, tapi malam pukul 10 malam ini.”
Lelaki itu menegakkan badannya dan berpaling ke arahnya. Dia pun tidak pasti dengan keputusan itu. Pukul sepuluh malam, lewat sekali, kalau dihitung kira pasti jam lima pagi dia sudah tercangak di Medan Gopeng dan menanti beberapa jam sebelum dia boleh pulang ke Bidor.
“Macamana?”
“Saya tak ada pilihan, terpaksalah.”
Lelaki itu membongkok lagi dan memesan tiket untuknya. Dia mengeluarkan wang namun lelaki itu menolak.
“Nah! Simpan, nanti hilang. Marilah.”
“Tak apalah, saya tunggu disini.”
Lelaki itu kelihatan terkejut, ketawa kecil.
“Awak ketawakan saya?” tanyanya dan mengecilkan matanya tanda marah.
“Maaf, awak tahu tak sekarang ni baru jam dua belas tengahari. Awak ada sepuluh jam sebelum bas awak tiba.”
“Tak mengapa, saya tunggu di sini.”
“Marilah, lagipun saya tahu awak belum makan lagi.”
Sekali lagi dia hanya mengekori lelaki itu, entah kenapa dia senang sekali dengan kehadiran lelaki itu. Lelaki itu memandu kereta kecil itu dan beberapa minit mereka tiba dihadapan sebuah bangunan. The Summit, itulah yang tertulis di situ.
“Marilah kita makan dulu atau awak ada cadangan lain?”
“Ikut awaklah, saya tak pernah datang ke Johor.”
Lelaki itu menukar gear dan berlalu, mereka keluar dari bangunan itu. Dia sedikit terkejut dengan tindakan lelaki itu, ke mana agaknya lelaki itu mahu membawanya.
“Alang-alang dah ke Batu Pahat. Apa kata kalau saya bawa awak berjalan-jalan.”
“Awak serius?”
Dia nampak lelaki itu tersenyum dan terus memandu. Dia hanya membiarkan saja lelaki itu membuat keputusan. Dia mengikut cuma, kerana disudut hatinya dia percayakan lelaki itu. Dia hanya melihat dari luar tingkap kereta buatan Malaysia itu semua tempat yang ditunjukkan oleh lelaki itu. Dari satu tempat ke satu tempat ditunjukkan sehingga mereka sudah melepasi sempadan Johor. Mereka sudah di bandar Melaka, bandar yang penuh dengan sejarah.
“Saya dah menyusahkan awak, kenapa awak buat macam ni?” tanyanya.
“Saya tahu bagaimana perasaan bila tiada sesiapa yang kita kenal di tanah asing.”
Dia membisu. Makanan dihadapan dijamah, dia memandang lelaki itu. Entah kenapa, sikap lelaki itu membuat dia tertarik.
“Apa tujuan awak ke Batu Pahat. Maaf tapi saya terpaksa tanya?”
“Saya sepatutnya berjumpa dengan kawan seuniversiti, tetapi dia sudah ke Singapura. Dia kata ada kerja kosong untuk saya, tetapi nampaknya tak menjadi.”
“Belum ada rezeki. Saya harap awak tak penat?”
“Taklah, kalau awak tak bawa saya belum tentu saya akan ke mari. Melaka diwaktu malam, cantik. Terima kasih pada awak.”
Lelaki itu melihat jam.
“Kita balik Batu Pahat sekarang, sudah jam lapan malam. Nanti tak sempat pula awak naik bas.”
Dia mengangguk.
Lelaki itu menghantarnya sehingga ke pintu bas. Mereka berpandangan, gadis itu cuba untuk bersuara tetapi tidak tahu apa yang ingin dikatakan.
“Selamat jalan,” suara lelaki itu memecah kesunyian.
“Terima kasih, saya dah menyusahkan awak.”
Lelaki itu gelengkan kepala.
“Saya gembira kita berjumpa. Saya harap kita akan berjumpa lagi. Saya...”
Kata-kata lelaki itu tidak sempat dihabiskan bila pemandu bas sudah mula menghidupkan enjin. Gadis itu mula melangkah naik.
“Hey, ini untuk awak?”
“Oh! Terima kasih.” Gadis itu sudah pun melangkah masuk. Pintu bas ditutup. Matanya hanya melihat bas berwarna hijau itu berlalu pergi. Dia mengeluh, lelaki itu teringat sesuatu. Walaupun sudah seharian dengan gadis itu tetapi sampai kini dia tidak tahu nama gadis itu. Dia ketawa kecil, kejadian pelik. Dia berlalu pergi.
Tiga tahun berlalu, dia sudahpun mengajar di sekolah di kampung halamannya. Dia melangkah keluar dari bilik guru dan menuju ke kelas. Hari ni kedengaran kecoh kerana ada beberapa orang guru baru akan datang ke sekolah itu. Dia tidak memperduli cuma mendengar perbualan guru-guru perempuan.
“Cikgu, lepas ni jangan lupa buat markah boleh key in cepat,” suara salah seorang guru ketika bertembung. Dia hanya mengangguk sebagai jawapan. Jam sudah lapan pagi, dia sudah melangkah masuk ke dalam kelas. Sesi pengajaran dan pembelajaran sudah pun berjalan, selama sejam. Dari arah dia berdiri dia dapat lihat tiga orang guru perempuan menuju ke pejabat. Pasti itulah guru baru yang disebut-sebut tadi.
Dia sudah duduk dikerusinya, buku murid-murid yang banyak dimeja diperiksa satu persatu.
“Assalamualaikum, cikgu-cikgu. Ini cikgu baru dan akan mula bertugas hari ni.”
Dia menoleh, sedikit terkejut namun tidak ditunjukkan. Jika itu benar banyak masa lagi untuk dia mencari jawapannya. Dia kembali dengan tugasnya.
“Amar, ini budak-budak baru. Ni Cik Ilya Ilani, ini Cik Anjali dan Cik Siew Fern. Mereka ni opsyen English.”
Dia hanya senyum dan mengangguk. Kemudian mereka berlalu, dia hanya memerhati mereka bertiga dan tersenyum lagi.
“Amar Ghazali? AG?” Dia mendongak.
“Sudah lama orang tak panggil saya AG? Awak masih kenal saya?”
Gadis itu mengangguk, tangannya membetulkan kedudukan cermin matanya. Lelaki itu tersenyum.
“Gelang tu?”
“Hadiah istimewa dari orang yang istimewa. Tak mungkin saya tanggalkan sampai bila-bila.”
Lelaki tersenyum.
“Kenal ke?” tanya Puan Kartika yang kebetulan lalu berhampiran.
“Kawan lama.”
“Ilya, cantik gelang tu. Beli di mana?”
Gadis bernama Ilya Ilani, tersenyum malu. Dia memandang lelaki dihadapannya.
“Orang yang telah tolong saya dan telah memberi pertunjuk baru pada saya. Dia yang berikan pada saya,” jelas gadis itu.
“Oh! Sentimental value lah ni..?” suara Puan Akmar, guru yang mengajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Ilya Ilani mengangguk.
“Kerana dialah saya berazam jadi cikgu.”
“Sampai macam tu sekali?” tanya lelaki itu.
“Jika tidak saya mungkin dijual ke Singapura oleh Saera, kawan rapat saya sendiri..”
Lelaki bernama Amar Ghazali sedikit tertanya-tanya dengan kata-kata gadis itu.
“Saera, rupanya ahli sendiket jual perempuan di Singapura. Tak sangka kawan saya begitu. Awak dah selamatkan saya,” suaranya.
“Taklah, itu rezeki awak. Jadi awak lepasan Maktab mana?”
“Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Batu Pahat.”
Lelaki itu ketawa kecil dan memandang gadis itu bagai tak percaya.
“Sebenarnya saya berharap dapat belajar disana dan syukurlah kepada Tuhan, ianya termakbul. Malangnya, waktu itu awak sudah pun tamat belajar.”
Mereka ketawa kecil, lelaki itu mengangguk.
“Saya terima nikahnya, Ilya Ilani binti Safiuddin dengan mas kahwinnya lapan puluh ringgit tunai,” suara pengantin lelaki dengan sekali lafaz.
“Sah! Sah! Sah!” suara saksi-saksi di sebelah tok kadi. Mereka menadah tangan memanjatkan doa. Pengantin lelaki diiring ke bilik perempuan untuk majlis seterusnya.
“Assalamualaikum,” ujar lelaki itu.
Ilya Ilani mendongak dan menjawab salam. Lelaki itu menyarungkan cincin ke jari manis dan diikuti dengan kucupan di dahinya. Ilya Ilani membalas dengan salaman ditangan suaminya. Puluhan cahaya dari lampu kamera membasahi mereka.
“Tahniah, Amar dan Ilya...” ucap beberapa saudara mereka. Mereka berpandangan, mereka lega semuanya berjalan dengan lancar.
“Terima kasih, Ilya?”
“Ilya yang patut berterima kasih, pada Amar.”
“Kita sama-sama berterima kasih. Kerana kejadian semalaman di Batu Pahat yang membuat kita bersatu.”
Ilya Ilani menangguk, dia turut lega serta bersetuju dengan kata-kata suaminya. Mereka beriringan menuju ke arah tetamu yang hadir.
~Tamat~

No comments: